Pkharuddin dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan yang baharu


PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini mengumumkan pelantikan YBhg. Dato' Haji Pkharuddin bin Haji Ghazali sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) yang baharu berkuat kuasa pada 23 September 2022. Perkara tersebut dimaklumkan dalam satu kenyataan melalui laman Facebook rasmi KPM.

YBhg. Dato' Haji Pkharuddin bin Haji Ghazali, 59 tahun merupakan KPPM yang ke-19. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) pengkhususan dalam bidang Geografi dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur. 

Beliau telah memulakan perkhidmatan dalam dunia pendidikan pada 1 Ogos 1989 sebagai guru di Sekolah Menengah King George V, Seremban, Negeri Sembilan. 

Dalam tempoh 33 tahun dalam perkhidmatan, beliau telah berkhidmat di pelbagai organisasi dalam KPM. 

Antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah Penolong Pengarah Sektor Penilaian dan Peperiksaan di Lembaga Peperiksaan Pengetua di SMK Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan, Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Ketua Sektor Jaminan Kualiti, Timbalan Pengarah serta Pengarah di Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Pengarah Peperiksaan di Lembaga Peperiksaan dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum). 

“KPM yakin YBhg. Dato' Haji Pkharuddin bin Haji Ghazali dapat menerajui perkhidmatan pendidikan serta meneruskan kesinambungan dalam memacu transformasi pendidikan dan meningkatkan lagi kualiti pendidikan negara ke tahap yang lebih tinggi demi masa depan generasi pewaris negara. 

“KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya.
Previous Post Next Post