2,047 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dinaikkan gred


KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju supaya gred Guru Besar (khas untuk penyandang) dan Guru Penolong Kanan di sekolah rendah ditingkatkan sehingga ke gred maksimum DG54. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Guru Besar Gred DG48 tidak diturunkan sebagai Guru Penolong Kanan atau guru biasa di sekolah rendah apabila dinaikkan pangkat ke gred DG52 dan DG54 secara 'time based' Berasaskan Kecemerlangan (TTBK). 

Beliau berkata, laluan kerjaya Guru Cemerlang di sekolah rendah diperluas sehingga ke gred DG52 dan DG54, berikutan 90.68 peratus guru sekolah rendah sudah pun berada di gred siswazah. 

"Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG48, diberi peluang untuk dilantik sebagai Guru Penolong di Sekolah Rendah. Justeru, Guru Penolong Kanan di sekolah rendah, tidak hanya terhad kepada Gred DG44 sahaja. 

"Selaras dengan keputusan pertama, Guru Penolong Kanan yang sudah dinaikkan pangkat gred yang lebih tinggi, kekal di jawatan terbabit sehingga Gred DG54," katanya. 

Beliau mengumumkan demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Khas Perdana Menteri bersama warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di sini hari ini. 

Yang turut sama hadir, Presiden NUTP, Aminuddin Awang. 

Perdana Menteri berkata, peningkatan gred jawatan Guru Besar dan Guru Penolong Kanan ini akan memberi faedah secara langsung kepada seramai 2,047 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di seluruh negara. 

Katanya, Kementerian Pendidikan juga sedang mengkaji struktur perjawatan Guru Besar dan Guru Penolong Kanan Sekolah Rendah melalui cadangan Model Sekolah dengan penetapan gred fleksi sehingga DG54 bagi memastikan kedudukan pentadbir sekolah sentiasa terpelihara, di samping mengekalkan keharmonian dalam kalangan warga sekolah. 

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Jawatankuasa Khas Bagi Meneliti dan Menambah baik Prosedur Kes Gangguan Seksual dan Buli di Institusi Pendidikan, di bawah Kementerian Pendidikan sudah ditubuhkan bagi menangani isu buli. 

Katanya, jawatankuasa yang dianggotai lapan tokoh dan pakar berpengalaman termasuk Presiden NUTP akan meneliti dokumen berkaitan prosedur pengendalian kes buli dan gangguan seksual serta mengenal pasti dan menentukan cadangan tadbir urus bersesuaian. 

"Jawatankuasa Khas ini akan mengesyorkan tindakan dan penambahbaikan boleh diambil oleh Kementerian Pendidikan dengan laporan dan perakuan dikemukakan kepada Menteri Kanan Pendidikan padaDisember 2022," katanya. 

Selain itu, katanya kerajaan turut memberi perhatian terhadap isu kadar bayaran Pengawas Peperiksaan Awam dan juga kadar bayaran Pemeriksa Kertas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang tidak setimpal dengan keadaan semasa. 

"Pada masa sama, kerajaan juga sedang berusaha mengatasi pelbagai isu membelenggu pendidikan negara seperti penyelenggaraan sekolah-sekolah bagi menjaga aspek keselamatan, elaun penolong kanan sekolah yang perlu dikaji semula dan kekurangan guru yang harus diatasi segera. 

"Kerajaan juga menyedari terdapat lima juta murid di 10,250 buah sekolah memerlukan kemudahan ICT yang terkini selaras dengan perkembangan teknologi semasa," katanya. 

Beliau juga berharap guru terus memainkan peranan dengan berkesan biarpun berdepan cabaran, selain ibu bapa diseru memberikan kerjasama kepada guru dan pihak sekolah dalam menjayakan usaha mereka meningkatkan pencapaian akademik atau kokurikulum anak-anak. 

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan pada 14 Jun lalu secara rasmi sudah memberikan kebenaran kepada guru-guru gred DG41 hingga DG54 menganggotai kesatuan sekerja, sambil turut menikmati manfaat sebagai ahli kesatuan.

 

Previous Post Next Post