Guru, murid dikejarkan ke hospital, terkena tumpahan raksa

ANGGOTA bomba membersihkan tumpahan raksa di sebuah sekolah rendah di daerah ini. FOTO ihsan bomba


Kulim: Seramai 13 murid tahun lima dan seorang guru wanita sebuah sekolah rendah, di sini, dikejarkan ke hospital selepas terdedah dengan sisa tumpahan cecair raksa, hari ini. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim, Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azwan Hamdan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.20 pagi memaklumkan mengenai kejadian terbabit. 

"Sebuah jentera bomba dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 11 anggota bergegas ke lokasi kejadian. 

"Setibanya di lokasi, didapati empat murid lelaki serta sembilan murid perempuan dan seorang guru wanita berusia 36 tahun terkesan akibat tumpahan cecair raksa dalam makmal sekolah terbabit," katanya. 

Menurutnya, semua mangsa didapati mengalami kesan gatal dan dikejarkan ke Hospital Kulim. 

"Kita turut memberikan rawatan awal kepada semua mangsa sebelum mereka dikejarkan ke hospital untuk tindakan susulan. 

"Kerja-kerja pembersihan dilakukan di kawasan terjejas dan operasi tamat jam 12.40 tengah hari," katanya.

 

Previous Post Next Post