KPM sedia RM50 juta baik sekolah rosak akibat banjir - Fadhlina Sidek

NIBONG TEBAL - Kemeterian Pendidikan (KPM) menyediakan peruntukan penyelenggaraan sebanyak RM50 juta bagi membaiki dan membaik pulih sekolah -sekolah yang terjejas serta rosak akibat banjir.

Menteri KPM, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya ketika ini sedang menunggu laporan lengkap daripa- da Jabatan Pendidikan negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berhubung kerosakan sekolah-sekolah terlibat.

"KPM memang ada peruntukan penyelenggaraan untuk sekolah terjejas dan terkesan akibat banjir khususnya di Terengganu serta Kelantan. Setakat ini saya dimaklumkan sebanyak 287 buah sekolah dilanda banjir di seluruh negara namun masih tunggu jumlah (sekolah) yang rosak.

"Saya telah minta pihak Jabatan Pendidikan negeri dan PPD untuk menyediakan laporan lengkap berhubung sekolah yang rosak dan terjejas, selepas itu kami akan salurkan peruntukan tersebut bagi membaikinya," katanya selepas hadir di Majlis Hari Bersama Rakyat Nibong Tebal di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Nibong Tebal di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Fadhlina berkata, KPM akan berbincang dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berhubung sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mencari alternatif sama ada terdapat keperluan untuk menangguhkan sesi persekolahan membabitkan kawasan yang masih dilanda banjir.

Katanya, sesi persekolahan bagi negeri atau kawasan yang tidak terjejas dalam banjir akan diteruskan seperti dijadualkan iaitu pada 2 Januari di Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu, manakala 3 Januari bagi negeri lain.

"Kebajikan dan keselamatan guru, murid serta warga sekolah adalah keutamaan KPM. Bagi negeri yang tidak melibatkan bencana akan mengikut jadual asal manakala bagi negeri terjejas banjir dan PPS (sekolah-sekolah) masih belum menunjukkan penurunan sebelum 3 Januari nanti, kami (KPM) akan bincang dengan Nadma bagi penangguhan pembukaan sekolah serta tujuan pelan alternatif.

"Sehingga kini sebanyak 241 buah sekolah masih dijadikan PPS," katanya. - Bernama

Previous Post Next Post