Timbalan Menteri Pendidikan enggan ulas cadangan pelaksanaan UEC

Hui Ying mengimbas kad perakam waktu di Putrajaya, semalam

Putrajaya: Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying akan terus berganding bahu bersama warga kementerian dalam menaik taraf sektor pendidikan negara.

Hui Ying berkata, beliau sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyerahkan amanah kepadanya untuk menjawat jawatan berkenaan.

"Saya akan memberi sokongan penuh, terutama kepada Yang Berhormat Menteri (Fadhlina Sidek) untuk menaik taraf pendidikan di negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengimbas kad perakam waktu di kementeriannya, semalam.

Yang hadir sama Fadhlina, Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali. 

Dalam pada itu, Hui Ying enggan mengulas lanjut ketika ditanya dakwaan sesetengah pihak bahawa pemilihannya sebagai Timbalan Menteri Pendidikan disebabkan beliau sebagai anak kepada veteran DAP, Lim Kit Siang. 

Beliau juga tidak mahu mengulas mengenai cadangan pelaksanaan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC).

Previous Post Next Post