UPSR dikembalikan? Tunggu laporan PPPM 2025 - Fadhlina Sidek



Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan keputusan sama ada mengembalikan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), bergantung kepada hasil pembentangan laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2025 (PPPM 2025) yang akan tamat tiga tahun lagi.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata sebarang keputusan untuk kembalikan peperiksaan itu, perlu merujuk kepada fakta dan data yang dikumpul sepanjang tempoh PPPM 2025, dan bukan kepada kecenderungan sedia.

“Kita faham keprihatinan ibu bapa, susulan anak-anak tidak menduduki peperiksaan dan sebenarnya isu ini sudah melalui proses sangat panjang dengan pihak berkepentingan, ibu bapa dan guru-guru sebelum memutuskan untuk memansuhkan UPSR.

“Jadi kita kena bentangkan dahulu hasil laporan PPPM 2025 untuk melaksanakan penambahbaikan sistem pendidikan dan laporan tersebut akan menunjukkan keberhasilan melibatkan peperiksaan dan proses pembelajaran anak-anak,” katanya kepada pemberita di Nibong Tebal hari ini. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, ditemui selepas hadir hari bersama rakyat Nibong Tebal di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Nibong Tebal, di Nibong Tebal. 

PPPM yang dilancarkan pada 2013, bakal tamat pada 2025.

Fadhlina berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung sama ada peperiksan UPSR dan PT3 akan dilaksanakan semula dalam masa terdekat, ekoran ramai ibu bapa menuntut agar ia dikembalikan dalam sistem pendidikan negara.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata setakat ini pendirian KPM ialah ingin memperkukuhkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi penambahbaikan, kemajuan dan potensi pelajar berbanding peperiksaan, malah ia sebagai proses ansur maju kanak-kanak secara holistik yang ia tidak tumpu kepada satu aspek sahaja. 

“Pendirian KPM sekarang nak kukuhkan PBS yang sedia ada melalui pengenalan ujian akhir akademik dan bukan macam UPSR atau PT3, yang tidak mahu terlalu fokus kepada peperiksaan. Jadi dalam hal ini, kena bagi sedikit ruang dan masa, kita akan lihat hasil pembentangan PPPM 2025,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata KPM juga komited memastikan takwim sesi persekolahan yang dianjak kepada Mac sejak tahun lepas, akan dikembalikan semula kepada jadual asal iaitu Januari tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Fadhlina berkata perkara berkenaan masih belum boleh dilaksanakan tahun hadapan, memandangkan perlu menyelesaikan pelbagai justifikasi mengikut Akta Pendidikan 1996.

“Kita akan balik ke Januari, jangan risau kerana saya tahu ramai ibu bapa tertunggu-tunggu dan meminta kementerian untuk kembalikan permulaan sesi persekolahan seperti biasa, cuma terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. 

“Sebagai contoh, jumlah hari bersekolah seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 hendaklah tidak kurang daripada 190 hari, selain itu, kita turut perlu mengambil kira takwim bagi sekolah-sekolah di negeri Kumpulan A dan B,” katanya.

Fadhlina berkata perubahan semula takwim persekolahan juga perlu mengambil jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta faktor ekonomi setempat dan banjir pada hujung tahun.

“Kami bimbang akan berlaku kacau ganggu terhadap proses pendidikan anak-anak selain mengambil kira peperiksaan SPM, STPM dan STAM,” katanya.

Sebelum ini, sesi persekolahan berubah susulan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang menyebabkan takwim persekolahn bagi 2022/2023 bermula pada Mac 2022.

Takwim bagi sesi persekolahan 2023/2024 akan bermula pada 10 dan 11 Mac tahun hadapan mengikut negeri. - Bernama

 

Previous Post Next Post