Maszlee Malik paling layak jadi pengerusi MPPK, bukan orang lain


Kemelut pelantikan Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) masih lagi tidak berkesudahan dengan suara-suara dari luar terus melontarkan luahan dan pendapat masing-masing.

Jika sebelum ini Dr Othman Talib mengkritik keras pelantikan Dr Amin Senin, mantan KPPM sebagai pegerusi, kali ini Dr Anuar Ahmad pula menyuarakan pendapat beliau.

Menurut beliau, Dr Maszlee Malik, adalah individu yang selayaknya dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK). Beliau mempunyai reputasi dan pengalaman luas sebagai pendidik.

"Sebagai mantan Menteri Pendidikan, beliau telah memahami dasar, peruntukan, birokrasi, pengoperasian dan ruang lingkup tanggungjawab KPM.

"Yang paling utama, beliau sebagai ahli politik blok kerajaan tentulah mempunyai kelebihan untuk memberikan teguran yang tegas dan konstruktif kepada KPM," jelasnya.

Dr Anuar berkata, Dr Maszlee bukan penjawat awam KPM yang berpencen. Oleh itu beliau lebih selesa dan tidak perlu terlalu menjaga mana hati mana-mana rakan-rakan penjawat awam di KPM.

Menurutnya lagi, YB Menteri Pendidikan mempunyai kelebihan kerana ada ketikanya jika ada pandangan yang berbeza antara pasukan MPPK dan pegawai KPM, kepelbagaian pandangan ini akan meningkatkan lagi kualiti keputusan dasar YB Menteri.

"Sebagai individu yang tiada sejarah dalam menyumbang kepada peningkatan beban tugas guru sejak bermulanya PPPM, Dr Mazlee bebas memberikan pandangan dan nasihat kepada YB Menteri, sekali pun nasihat yang mungkin pahit untuk ditelan," katanya lagi.

Beliau merumuskan MPPK akan benar-benar menjadi satu pasukan penasihat yang dipercayai oleh rakyat, dihormati dan berfungsi dengan baik demi kebaikan anak-anak kita dan sistem pendidikan negara jika Dr Maszlee dilantik menjadi pengerusi dan bukan Dr Amin Senin.

 

Previous Post Next Post