‘Saya mahu MPPK sediakan laporan beban tugas, kebajikan guru bulan depan’ - Fadhlina



PETALING JAYA: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengarahkan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) 2023-2025 menyediakan laporan sulung berhubung beban tugas dan kebajikan guru, sebelum pertengahan bulan depan.

Katanya, sebagai tindakan segera dan arahan pertama, beliau meminta MPPK memberikan perhatian kepada hal berkaitan beban tugas dan kebajikan guru.

“Jadi, saya mahu laporan tersebut di atas meja saya sebelum pertengahan bulan hadapan,” katanya di Facebook.

Katanya, beliau bertemu dengan Pengerusi MPPK 2023-2025, Amin Senin bagi membincangkan beberapa perkara berbangkit di samping berkaitan dengan isu pendidikan negara.

“Barisan MPPK kali ini, saya pilih dengan memberikan keutamaan kepada beberapa kriteria. Yang pertama, enam daripada sembilan ahli MPPK ini dipilih dalam kalangan mereka yang berlatar belakangkan profesion keguruan.

“Kedua, pengerusi MPPK dipilih dalam kalangan mantan ketua pengarah pendidikan. Hal ini penting bagi memastikan nasihat dikemukakan pasukan ini kelak, selari dengan dasar pendidikan kebangsaan, selain memahami dengan mendalam selok-belok, kerumitan dan kompleksiti kementerian terbesar di Malaysia ini,” katanya.

Jelasnya lagi, kriteria pemilihan kesemua ahli MPPK ini bukan berasaskan faktor bangsa tetapi atas dasar profesionalisme dan kepakaran tokoh terbabit yang diperlukan ketika ini.

“Ahli majlis MPPK yang telah diumumkan akan mewujudkan jawatankuasa yang melibatkan setiap komposisi kaum, masyarakat orang Asli, golongan rentan seperti OKU, pemegang taruh pendidikan dan juga wakil pemimpin pelajar.

“KPM juga mengalu-alukan setiap maklum balas dan wakil NGO/komuniti yang ingin memberikan cadangan penambahbaikan pendidikan terutamanya terkait dengan murid, guru dan sekolah,” katanya.

 

Previous Post Next Post