Jika ada anak VIP, mungkin kantin baharu boleh dapat serta merta - PIBG

ZULYAZAN Mat Saman (tengah) bersama ibu bapa meminta supaya kerajaan segera membina kantin baru di Sekolah Kebangsaan (SK) (RKTP) Kampung Awah di Maran, Pahang. – FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF


MARAN: "Mugkin kerana penduduk kampung kami ini tiada anak orang kenamaan, jadi, pihak berkenaan buat endah tak endah sahaja, jika ada mungkin ia akan segera dibina'.


Demikian kata Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) (RKTP) Kampung Awah, Zulyazan Mat Saman kepada Utusan Malaysia berhubung isu kantin rosak dan tidak selamat digunakan yang berlaku di sekolah itu sejak 2016. 


Beliau berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan sepatutnya segera meluluskan peruntukan bagi membina kantin baharu di sekolah itu jika benar- benar prihatin dengan nasib 230 murid di situ yang terpaksa makan dilokasi bersepah-sepah termasuk di tepi longkang dan lereng bukit kerana kantin di sekolah itu rosak teruk serta tidak boleh digunakan sejak tujuh tahun lalu. 


Ini kerana katanya, kos membina kantin baharu itu bukan RM3 bilion tetapi sekitar RM450,000 berdasarkan penilaian terkini oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).


"Saya berasa kelakar apabila Kementerian Pendidikan memaklumkan bahawa pihaknya begitu prihatin dan cakna dengan nasib murid di SK (RKTP) Kampung Awah. 


"Untuk pengetahuan Menteri Pendidikan, isu ini bukan baharu tetapi sejak 2016. Lebih tujuh tahun murid tiada tempat selesa untuk makan, begitu juga tempat masak buat pengusaha kantin. 


"Ayat diberikan, kelulusan projek membina kantin sekolah ini tertakluk kepada pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari ini. Bagaimana jika ia tidak dimasukkan dalam Bajet 2023? Berapa lama lagi murid perlu menunggu?," katanya.

Previous Post Next Post