Kuarters hampir roboh, guru bersama 4 anak terpaksa bermalam di sekolah

Tangkap layar video seorang guru menunjukkan kuarters berkenaan dalam keadaan uzur dan hampir roboh sehingga terpaksa bermalam di sekolah.


PETALING JAYA – Seorang guru wanita di Sabah menjadi perhatian apabila memilih kelas di sebuah sekolah di Sabah sebagai tempat untuk bermalam. 

Menggunakan nama WirawatiLawe, cikgu tersebut mendakwa kuarters yang disediakan sebelum ni terlalu uzur untuk didiami malah disahkan tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). 

“Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beluran juga maklumkan perkara sama. Sekolah terletak di kawasan pedalaman dan pulau hingga sukar cari rumah sewa. 

“Jadi pihak sekolah sarankan untuk tinggal sementara di kelas prasekolah,” tulisnya di TikTok. 

Menurutnya, dia bermalam di sekolah tersebut bersama empat orang anak dan seorang lagi guru perempuan yang menjadi teman serumah sejak awal berkhidmat, iaitu pada Oktober 2019. 

Sementara itu, Mohd. Fadli Salleh atau lebih dikenali Cikgu Fadli, menggesa supaya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, bertindak segera. 

“Kebajikan guru ini perlu diberi perhatian segera. Takkan nak tunggu ada kecederaan dan kemalangan dulu baru nak bertindak. 

“Mohon kawan-kawan yang ada akses dengan menteri panjangkan hal ini. Hal ni perlu diberi keutamaan teratas dah ni, isu keselamatan dan kebajikan guru. 

“Mentang-mentang beliau bertugas di pedalaman, tak ramai yang bagi perhatian sewajarnya. Kasihannya rakan guru saya ni. 

“Sedih lihat ada rakan guru terpaksa berkorban sampai tahap macam ni. Mundur sangatkah negara kita?,” soalnya di Facebook. – KOSMO! ONLINE

 

Previous Post Next Post