Murid terbabit vandalisme sedang jalani kaunseling, intervensi - Fadhlina


BANGI: Proses siasatan terhadap sekumpulan murid yang terbabit dalam aktiviti vandalisme di dalam bangunan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Seberang Perai Selatan (SPS) sudah pun selesai. 

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata Kementerian Pendidikan (KPM) kini sedang melaksana program intervensi khususnya memberi khidmat kaunseling terhadap semua murid yang terbabit. 

Tanpa memperincikan jumlah murid terbabit, beliau juga meminta orang ramai berhenti tularkan video vandalisme berkenaan bagi mengelak program intervensi yang sedang dijalankan terganggu. 

"Kita sudah selesai siasatan dan kita sudah panggil kanak-kanak ini, ibu bapa mereka dan sudah melakukan pelbagai intervensi. 

"Proses intervensi ini juga sudah dilakukan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan kaunseling juga sudah kita susuli. Lepas ini kita lihat dari hasil kauseling itu dan kita lihat apa yang menyebabkan mereka jadi begitu," katanya. 

Beliau ditemui media selepas meninjau hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK Jalan Empat di Bandar Baru Bangi di sini, hari ini. 

Fadlina berkata, proses intervensi itu penting bagi memastikan murid yang terbabit diberi peluang untuk memperbaiki dirinya selain menjadi kesedaran kepada murid lain. 

"Ini anak kita. Kita jangan putus asa. Saya faham ramai yang marah melihat kejadian itu. Saya fikir anak kita mesti diberi peluang, teguran dan kaunseling yang berterusan. 

"Saya fikir ada isu yang perlu ditangani secara komuniti dan tugas kita sebagai ibu bapa, guru dan kaunselor supaya mereka tidak mengulangi perbuatan ini. 

"Saya serahkan isu disiplin ini kepada pihak sekolah dan saya percaya pihak sekolah sudah mengambil beberapa tindakan khusus untuk menangani isu ini," katanya. 

Beliau juga menggesa mana-mana pihak tidak mendedahkan wajah dan identiti kanak-kanak ini termasuk identiti sekolahnya. 

"Kita memang mahu jaga dan lindungi anak-anak ini supaya dia dapat kaunseling yang berterusan. Kita bimbang jika terus ditularkan, proses intervensi itu tidak dapat berjalan dengan baik," katanya. 

Beberapa hari lalu, tular dua rakaman video di media sosial yang memaparkan tindakan sekumpulan murif lelaki merosakkan harta benda sekolah.

 

Previous Post Next Post