Parlimen | Bawa karekter ‘cikgu’, Fadhlina gamatkan suasana dewan

Reaksi Fadhlina yang dilihat tenang dan bersahaja ketika mengawal celahan daripada Ahli-ahli Parlimen turut mencuit hati - Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR: Suasana Dewan Rakyat hari ini digamatkan dengan karakter 'cikgu' oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Ketika sesi menggulung perbahasan Titah Diraja, Ahli Parlimen Nibong Tebal itu secara berseloroh meminta mana-mana Ahli Parlimen yang disebut nama iaitu merujuk kepada soalan-soalan yang telah dibangkitkan, supaya mengangkat tangan ketika dipanggil.

Reaksi Fadhlina yang dilihat tenang dan bersahaja ketika mengawal celahan daripada Ahli-Ahli Parlimen turut mencuit hati. 

"Jelebu ada? tidak ada. Sik ada? baik...ahli yang berhormat, yang saya panggil, angkat tangan ya supaya saya boleh catatkan kehadiran.

"Senang saya nampak siapa yang hadir untuk saya jawab soalan," katanya. 

Karakter 'guru' yang dibawa oleh Fadhlina dilihat turut berjaya 'melembutkan' Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang sebelum ini sering lantang di Dewan Rakyat.

"Kalau kita masuk ke sekolah ketika ini, pengetua atau guru besar minta dewan terbuka sekarang ini. Memang sekarang ini Yang Berhormat cikgu (Fadhlina), memang dia minta kepada kita dewan terbuka.

"Jadi saya rasa persoalan mengenai dewan terbuka ini pun saya rasa Yang Berhormat cikgu pun kena tengok permohonan daripada pihak sekolah. Terima kasih Yang Berhormat cikgu," kata Sany sebelum kedengaran suara daripada Ahli Parlimen menyatakan tidak pernah meilhat beliau begitu lemah lembut.

Pada akhir sesi juga seorang Ahli Parlimen sempat mengajuk dialog 'terima kasih cikgu' dalam rancangan animasi popular Upin Ipin.

Dalam masa yang sama, Fadhlina ketika sesi berkenaan turut memaklumkan Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan memansuhkan Sistem Pengurusan Identiti (iDME) setakat ini.

Sebaliknya, beliau berkata akan terus menambah baik sistem itu dari semasa ke semasa.

"KPM mengambil langkah akomodatif dalam memastikan guru boleh mengisi maklumat secara dalam atau luar talian.

"Bagaimanapun, dengan isu yang berlaku seperti guru yang tertekan dan sebagainya, kita ambil maklum dan terus memperbaiki sistem ini dari semasa ke semasa.

"Banyak lagi sistem yang akan mereka isi, tapi saya akan pastikan sistem ini sentiasa 'on track' untuk memastikan tiada lagi kesan yang seperti yang dinyatakan," jelasnya.

 

Previous Post Next Post