Imej hiasan |
KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang mewajibkan penyertaan kanak- kanak Islam dalam program Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dan ia masih bersifat sukarela ketika ini.
Bagaimanapun kata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar, kerajaan komited dalam melaksanakan pemerkasaan program KAFA secara berterusan untuk memberi manfaat kepada seramai 1,324,440 murid Islam di seluruh Malaysia.
Jelas beliau, perkara itu terbukti melalui evolusi program KAFA telah meningkatkan penyertaan murid Islam ke dalam program terbabit setiap tahun.
Selain itu katanya, bermula tahun 2020 Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) telah berusaha untuk melaksanakan penyeragaman kurikulum dan buku teks KAFA untuk digunakan oleh semua agensi pelaksana.
“Tujuan penyelarasan ini dibuat sudah tentunya memberikan manfaat kepada murid Islam yang menyertai program KAFA agar mendapat satu kurikulum yang standard. Ini termasuklah dengan memperkenalkan program KAFA Pra Tahfiz.
“Pada masa sama, kerajaan juga telah meluaskan pelaksanaan KAFA kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) ke 58 buah sekolah melibatkan 1,589 orang murid,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang bertanya adakah Kerajaan bercadang untuk mewajibkan kepada semua murid yang beragama Islam untuk mempelajari KAFA dan mengambil Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK).-KOSMO! ONLINE