Anak ponteng sekolah 20 hari, penjaga boleh dipenjara

Riyadh: Ibu bapa kepada pelajar yang ponteng sekolah di Arab Saudi selama 20 hari tanpa alasan munasabah boleh berdepan hukuman penjara, lapor sebuah akhbar tempatan.


Gulf News yang memetik laporan akhbar di Makkah melaporkan, ketidakhadiran pelajar ke sekolah selama 20 hari tanpa alasan kukuh menjadikan penjaganya bertanggungjawab untuk siasatan oleh pendakwaan awam di bawah Undang-Undang Perlindungan Kanak-Kanak.


Selepas memuktamadkan penyiasatan, pendakwa hendaklah merujuk kes itu ke mahkamah di mana hakim mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan hukuman penjara dengan tempoh yang sesuai terhadap ibu bapa, jika penjaga didapati cuai ketidakhadiran pelajar.


Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan 'kajian ideal' pada tahun akademik baharu, kata laporan itu.


Menyenaraikan proses tindakan undang-undang terhadap penjaga pelajar yang tidak hadir itu, akhbar berkenaan berkata, pengetua sekolah akan melaporkan kes kepada Jabatan Pendidikan untuk membuka kertas siasatan.


Seterusnya, Jabatan Pendidikan akan merujuk kes kepada Kementerian Pendidikan.


Jabatan Penjagaan Keluarga akan mendengar keterangan pelajar untuk menentukan punca ketidakhadiran ke sekolah.


Ibu bapa akan dirujuk ke pendakwaan untuk siasatan sebelum kes dirujuk ke mahkamah untuk mendengarnya.


Tiada ulasan segera daripada pihak berkuasa pendidikan mengenai laporan itu.


Lebih enam juta pelajar dalam peringkat pendidikan yang berbeza, kembali ke sekolah di seluruh Arab Saudi, awal minggu ini, selepas cuti musim panas selama dua bulan.


Tahun persekolahan tiga semester diamalkan di negara itu iaitu selama 38 minggu dan cuti berbeza selama 60 hari, selain cuti musim panas selama 68 hari.

Previous Post Next Post