Gelombang haba: KKM saran sekolah ditutup


Imej hiasan via Bing Image Creator


KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan agar semua aktiviti di luar bilik darjah di tangguhkan buat sementara waktu di semua lokasi dengan status cuaca panas tahap 1. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abdu Hassan, berkata sekiranya status cuaca bertukar kepada status Gelombang Haba, Kementerian Pendidikan (KPM) boleh menutup institut di bawah kendaliannya.

“Tindakan boleh diambil KP sebagaimana Pelan Tindakan Bagi Menangani Gelombang Haba 2016, Pelan Tindakan Pengurusan Risiko Kesihatan Akibat Gelombang Haba 2021 dan Garis Panduan Penutupan Institusi Pendidikan di bawah KPM Semasa Cuaca Panas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Radzi, pendedahan kepada cuaca panas yang berpanjangan boleh memudaratkan kesihatan terutamanya kepada golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

“Murid-murid sekolah adalah di antara golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat kesan masalah kesihatan akibat pendedahan kepada cuaca panas disebabkan faktor fisiologi dan juga faktor kurang pengambilan air,” katanya lagi.

Sehubungan itu, KKM menasihati ibu bapa agar memastikan anak-anak untuk mengambil air secukupnya dan bagi mereka yang berpuasa, hendaklah meminum air yang mencukupi semasa sahur dan berbuka.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan negeri Perlis telah mengalami Gelombang Haba iaitu suhu maksimum harian melebihi 37°C hingga 40°C sejak 19 Mac lalu.

Selain itu, sebahagian besar negeri Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Kota Setar, Kuala Muda, Pendang, Sik, Baling) dan sebahagian negeri Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta) mengalami cuaca panas Tahap 1 iaitu suhu maksimum harian melebihi 35°C hingga 37°C.

Previous Post Next Post