Prof Teo disiasat berhubung kenyataan isu sekolah vernakular

Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong


KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan terhadap Felo Kanan, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, berhubung kenyataannya berkaitan sekolah vernakular.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Saifuddin memaklumkan perkara itu pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Minggu lalu, Teresa Kok (PH-Seputeh) di Dewan Rakyat mempersoalkan mengapa Kok Seong tidak disiasat berhubung kenyataannya berkaitan isu sekolah vernakular dan membandingkan siasatan polis terhadap pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Tony Pua.

Media sebelum ini melaporkan, Kok Seong dalam sebuah platform media sosial yang disiarkan sebuah portal berita, mendakwa sekolah vernakular menjadi penghalang kepada perpaduan negara.

Saifuddin berkata, topik mengenai sekolah vernakular sentiasa dibahas dan mendapat pandangan daripada pelbagai sudut pandang.

"Saya setuju, perkara yang jelas dalam perlembagaan, terutama berkaitan satu penerimaan kontrak sosial yang sudah lama diguna pakai itu perlu dihormati, ada batas yang perlu dijaga dan dihormati bersama," katanya.

Sebelum itu, beberapa Ahli Parlimen membangkitkan mengenai kenyataan Kok Seong dan tindakan ke atasnya.

"Apa yang dinyatakan beliau memang tidak berperlembagaan dan melanggar Akta Hasutan.

"Saya berharap perkara ini jangan dimainkan kerana ia asas dalam perlembagaan dan kontrak sosial," kata Lim Guan Eng (DAP-Bagan).

Bagaimanapun, Wan Ahmad Fayhsal mempersoalkan mengapa perlu ada tindakan ke atas Kok Seong yang juga sarjana dihormati dan sudah berbelas tahun bercakap mengenai isu sekolah vernakular, sekolah satu aliran dan perpaduan nasional.

"Bila beliau bercakap dan diugut dalam Dewan ini oleh Ahli Parlimen kita, adakah ini satu yang melanggar Perlembagaan? Kita tidak boleh bercakap mengenai isu sensitif mengenai perpaduan nasional," katanya.

Previous Post Next Post