SKM punca ketidakseimbangan saiz kelas sekolah bandar, luar bandar - Fadhlina


KUALA LUMPUR: Nisbah guru dan murid di negara ini berada pada tahap lebih baik berbanding negara lain seperti Singapura dan Amerika Syarikat (AS).

Tahun lalu, nisbah guru dan murid sekolah rendah ialah seorang guru kepada 12.87 murid di Semenanjung, manakala seorang guru kepada 11.70 murid di Sabah dan seorang guru kepada 9.99 murid di Sarawak.

Singapura mencatatkan nisbah 13.84 dan AS pula 13.57.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata nisbah guru dan murid bagi sekolah menengah di Semenanjung pula ialah seorang guru kepada 11.26 murid, seorang guru kepada 12.87 murid di Sabah dan seorang guru kepada 12.55 murid di Sarawak dengan Singapura mencatatkan nisbah 11.63 dan AS (14.74).

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen bagi menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut).

Fadhlina berkata berdasarkan data pada 30 September 2023, sebanyak 2,065 daripada 10,233 sekolah adalah Sekolah Kurang Murid (SKM) mengikut kriteria Anggaran Belanja Mengurus (ABM).

"SKM menjadi penyumbang kepada ketidakseimbangan saiz kelas bagi sekolah-sekolah di bandar dan luar bandar.

"SKM mencatatkan nisbah murid-guru iaitu 5.48. Walau bagaimanapun, sebanyak 8,168 sekolah bukan kurang murid mencatatkan nisbah murid-guru bagi peringkat rendah ialah 12.60 manakala peringkat menengah ialah 11.81," katanya.


Previous Post Next Post