KPM disaran lantik bekas tentera jadi warden sekolah asrama

Persatuan Veteran Angkatan Tentera menyarankan Kementerian Pendidikan melantik bekas tentera sebagai warden sekolah berasrama kerana ia boleh dijadikan pekerjaan kedua selepas mereka menamatkan perkhidmatan.

PETALING JAYA: Persatuan Veteran Angkatan Tentera (PVATM) menyarankan Kementerian Pendidikan (KPM) memberi peluang kepada bekas tentera menjadi warden sekolah berasrama susulan kesediaannya mempertimbangkan perjawatan itu diwujudkan bukan dalam kalangan guru.

Presidennya, Shahruddin Omar berkata, veteran sesuai menguruskan pelajar di asrama kerana mereka berdisiplin, terlatih dan diterapkan nilai baik ketika menjadi anggota tentera.

“Sebagai pembuka peluang kepada pekerjaan kedua selepas tamat perkhidmatan, bekas tentera yang pencen seawal 40-an sangat sesuai menjawat tugas itu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian susulan cadangan beberapa pihak, khasnya ibu bapa yang mahu KPM menambah baik sistem perjawatan warden bagi menjamin keselamatan pelajar dan guru tidak menjadi warden bagi meringankan beban pendidik memikul dua tanggungjawab berat.

Susulan itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Jumaat lalu berkata, KPM sedia menerima semua pandangan dalam mempertimbangkan perjawatan warden bukan dalam kalangan guru dan penambahbaikan di sekolah serta asrama.

Previous Post Next Post