Perbaiki proses pemilihan untuk pilih guru yang berkualiti

Imej hiasan via Bing Image Creator


MALAYSIA dan negara berpendapatan sederhana di Asia Timur dan Pasifik berdepan dengan beberapa cabaran utama. Walaupun Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi mantap, masalah pembelajaran masih menjadi halangan besar.

Lebih 40 peratus kanak-kanak berusia 10 tahun di negara ini tidak dapat membaca dan memahami teks pada tahap sesuai dengan usia mereka.

Ketidaksetaraan dalam pencapaian pembelajaran juga isu serius di Malaysia. Pelajar berlatarbelakangkan sosioekonomi rendah menunjukkan prestasi pembelajaran lebih rendah berbanding mereka di strata ekonomi lebih baik.

Ini menandakan jurang besar antara pelajar daripada pelbagai lapisan masyarakat. Meskipun Malaysia dan negara dalam kategori ini menikmati tahap ekonomi stabil, asas pembelajaran dalam kalangan generasi akan datang masih lemah.

Prestasi pembelajaran Malaysia dan negara sekitarnya jauh di bawah jangkaan mengambil kira pendapatan kasar domestik per kapita mereka. Sebagai contoh, Malaysia memiliki kadar kemiskinan pembelajaran sebanyak 42 peratus, jauh lebih tinggi daripada negara seperti Kazakhstan yang hanya 2.0 peratus.

Akibat penutupan sekolah ketika pandemik COVID-19, Malaysia dan negara sekitarnya berusaha menangani kelemahan dalam pembelajaran. Kebanyakan isi rumah meningkatkan perbelanjaan pendidikan mereka, terutama dalam bidang tuisyen dan teknologi.

Dalam konteks perbelanjaan pendidikan, Malaysia memperuntukkan 4.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada pendidikan. Bagaimanapun, perbandingan dengan negara rakan seangkatan lain menunjukkan perbezaan ketara dalam prestasi pembelajaran.

Walaupun Malaysia, Mongolia dan Thailand mempunyai perbandingan pendapatan serupa dengan negara di Eropah dan Asia Tengah, kadar kemiskinan pembelajaran dalam kalangan negara ini lebih tinggi.

Perbaiki asas pendidikan negara

Mengikut laporan Bank Dunia Asia Timur dan Rantau Pasitif 2023, terdapat beberapa perkara yang perlu Malaysia beri perhatian untuk memperbaiki asas pendidikan negara pada masa hadapan.

Pertama, Malaysia perlu memberi tumpuan kepada meningkatkan kualiti guru sebagai asas utama pembangunan pendidikan. Teladan daripada negara seperti Singapura dan Jepun menunjukkan pentingnya penapisan ketat dalam pemilihan calon guru.

Malaysia boleh memperkenalkan proses pemilihan guru lebih ketat dan berpiawaian tinggi untuk memastikan hanya calon berkualiti dipilih menjadi pendidik.

Kedua, Malaysia perlu mengukuhkan program latihan guru dengan menyediakan latihan berfokus dan disesuaikan dengan keperluan sebenar guru dalam kelas. Thailand sebagai contoh, berjaya melaksanakan program latihan berfokus pada keperluan guru mengikut subjek dan tahap.

Seterusnya, Malaysia perlu melanjutkan penggunaan data penilaian untuk meningkatkan kemahiran pengajaran guru. Sebelum ini data ini digunakan untuk meningkatkan kemahiran guru bahasa Inggeris.

Pendekatan ini patut diperluaskan kepada bidang lain bagi memastikan pengajaran lebih efektif dan produktif dalam semua mata pelajaran.

Selain itu, Malaysia boleh melaksanakan sistem insentif lebih berkesan untuk memotivasikan guru dan meningkatkan prestasi pendidikan. Keberkesanan sistem telah dibuktikan Indonesia yang melaksanakan sistem insentif ini.

Akhir sekali, Malaysia perlu memperbaiki proses pemilihan guru dengan pendekatan yang lebih teliti dan penumpuan kepada kualiti.

Memilih guru berkualiti adalah langkah penting dalam meningkatkan mutu pengajaran dan memastikan pendidikan dapat dibangunkan dengan berkesan. Perhatian lanjut kepada 'jiwa pendidik' akan mengukuhkan mutu keguruan.

Mengambil langkah tepat dan menumpukan kepada peningkatan kualiti pengajaran mampu membantu Malaysia melangkah ke hadapan membina asas kukuh untuk masa depan lebih cerah.

Dr. Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim adalah Felo Penyelidik Pendidik MADANI

Previous Post Next Post