PGB perlu pantau proses PdP guru - Konsultan

Imej hiasan via Bing Image Creator


SEBAGAI pemimpin utama di sebuah institusi pendidikan, peranan pengetua dan guru besar (PGB) sangat penting dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan dengan berkualiti tinggi di dalam bilik darjah. Mereka tidak hanya bertanggungjawab terhadap pengurusan sekolah secara keseluruhan, tetapi juga mempunyai tanggungjawab besar terhadap prestasi dan perkembangan guru. Dalam merealisasikan tanggungjawab ini dengan berkesan, terdapat beberapa cadangan yang boleh diambil kira. 

Pertama, PGB perlu memastikan bahawa guru sentiasa mendapat sokongan dan bimbingan yang mencukupi. Ini boleh dilakukan melalui penyediaan program latihan dan pembangunan profesional yang berterusan dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran pedagogi dan penggunaan teknologi dalam pengajaran. 

Selain itu, PGB juga perlu membentuk budaya yang memberi penekanan kepada perkongsian pengetahuan dan kerjasama antara guru, supaya mereka dapat saling menguatkuasakan dan meningkatkan praktik pengajaran mereka. 

Kedua, penting bagi PGB untuk mengadakan penilaian berterusan terhadap prestasi guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ini termasuklah pemerhatian pengajaran secara langsung, penilaian prestasi berdasarkan pencapaian pelajar dan penilaian diri oleh guru sendiri. Ini dapat membantu guru memperbaiki dan memperkukuhkan prestasi mereka dalam bilik darjah. 

Ketiga, PGB perlu menggalakkan budaya inovasi dan penyelidikan dalam kalangan guru dengan memberi ruang dan sokongan untuk projek-projek inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran serta memastikan akses kepada sumber-sumber maklumat mahupun penyelidikan terkini dalam bidang pendidikan. 

Akhir sekali, PGB perlu memainkan peranan sebagai model peribadi yang memberi inspirasi kepada guru-guru di sekolah. Mereka perlu menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap kecemerlangan akademik, keberhasilan pelajar serta sikap profesional yang telus dan beretika dalam semua aspek pengurusan sekolah. 

Dengan mempamerkan nilai-nilai kepimpinan yang kukuh dan integriti peribadi yang tinggi, PGB dapat membina kepercayaan dan penghargaan dari guru serta memotivasikan mereka untuk mencapai tahap keunggulan yang lebih tinggi. 

AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN 
Konsultan, Program Sekolah Irfan @ Pahang Yayasan Pahang

Surat Pembaca Utusan Malaysia

 

Previous Post Next Post