Hadiah Hari Guru turut musnah dalam kebakaran

Seorang wanita berputih mata selepas hadiah yang diterima daripada muridnya sempena sambutan Hari Guru musnah dalam kebakaran di Kampung Tasik Gondang di Rantau Panjang pada Khamis.

RANTAU PANJANG - Seorang guru wanita berputih mata selepas hadiah diterima daripada muridnya sempena sambutan Hari Guru musnah dalam kebakaran di Kampung Tasik Gondang di sini pada Khamis.

Kejadian sekitar jam 5.30 petang itu memusnahkan sebuah rumah, kereta jenis Perodua Kancil dan lima motosikal.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kuar, Harni Hasniza Abd Rahim, 45, berkata, semasa kejadian dia dan suami serta dua anaknya keluar ke pekan Rantau Panjang.

"Kebetulan anak sulung yang berusia 18 tahun ada di rumah dan sedang tidur.

"Menurut anak saya, semasa kejadian dia tersedar apabila berasa panas kerana tiada elektrik. Bila keluar dari bilik tidur, dia ternampak api marak dan sempat menghubungi kami yang kebetulan baharu beberapa minit keluar dari rumah," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, mereka terus berpatah balik dan sempat masuk ke dalam rumah yang terbakar namun hanya berjaya menyelamatkan dokumen penting yang diletakkan di satu almari khas.

Kejadian sekitar jam 5.30 petang itu memusnahkan sebuah rumah, kereta jenis Perodua Kancil dan lima motosikal.


Ujarnya, barangan lain gagal diselamatkan kerana api marak begitu cepat.

Harni Hasniza memberitahu, walaupun rumah berusia 70 tahun itu musnah namun dia bersyukur kerana kedua ibu bapanya berusia lingkungan 70-an kebetulan berada di rumah adik-beradiknya yang lain semasa kejadian berlaku.

"Kami sekeluarga tinggal bersama kedua ibu bapa saya di rumah ini.

"Sekarang kami terpaksa menumpang di rumah saudara-mara buat sementara waktu.

"Selain sedih mengenangkan rumah yang menyimpan banyak kenangan bersama musnah, saya cukup terkilan apabila hadiah Hari Guru yang diberikan oleh murid juga musnah," katanya.

Harni Hasniza berkata, kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan berjumlah RM300,000.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Sapawi Setapa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.47 petang.

Ujarnya, setiba di lokasi rumah tersebut sudah hangus 90 peratus, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 153010802009 Wahyu Hidayat Yusof.

Previous Post Next Post