“Kami bersekolah di Rantau Panjang kerana kami orang Malaysia…”

 

Pangkalan haram di Sungai Golok yang menjadi tumpuan pelajar sekolah termasuk orang ramai menggunakan kemudahan itu bagi merentasi Sungai Golok, setiap hari untuk memasuki Malaysia. NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

RANTAU PANJANG: Hampir 500 pelajar dari Thailand yang bersekolah di Rantau Panjang, di sini, mendakwa mereka adalah warga Malaysia yang mempunyai dokumen sah pengenalan diri.

Bagaimanapun, mereka terpaksa tinggal di Golok, Thailand disebabkan ibu atau bapa adalah warga Thailand, selain faktor kekeluargaan.

Difahamkan, walaupun tinggal di Golok, Thailand, alamat yang tertera pada dokumen pengenalan diri pelajar terbabit menggunakan alamat keluarga terdekat mereka di Kelantan.

Seorang bapa yang dikenali sebagai Din, 49, berkata isu pelajar terbabit bersekolah di Malaysia tidak menjadi kesalahan kerana mereka semua mempunyai dokumen pengenalan diri sah dan warga Malaysia.

"Jika tiada dokumen pengenalan diri, bagaimana mereka boleh bersekolah di Malaysia. Begitu juga dengan anak saya yang bersekolah di sini, sedangkan tinggal di Thailand.

"Cuma kita akui isu menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok menjadi satu kesalahan, namun ia sudah menjadi tradisi di sini memandangkan untuk ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), jaraknya lebih jauh.

"Jika benar pihak keselamatan mahu pelajar turut menggunakan ICQS bermula bulan depan, kita meminta kaunter perkhidmatan sama ada di pihak Thailand mahupun di Malaysia ditambah baik bagi mengelak berlaku kesesakan yang akhirnya menyusahkan pelajar.

"Ini kerana pintu sempadan dibuka pada jam 7 pagi sedangkan pelajar perlu sampai di sekolah sebelum jam 7.30 pagi. Jadi, jika mahu pelajar menggunakan laluan sah, ia tiada masalah, hanya perlu ditambah baik supaya tidak berlaku kesesakan yang melewatkan pelajar ke sekolah atau wujudkan laluan khas untuk pelajar," katanya.

Media semalam melaporkan, polis Kelantan akan menahan mana-mana individu yang menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok untuk merentasi sempadan Malaysia-Thailand, berkuat kuasa 1 Disember ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, ketika mengumumkan perkara itu berkata, mereka akan ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000, jika sabit kesalahan.

Katanya, beliau sudah mengarahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pegawainya mengadakan pemantauan 24 jam di sempadan.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang dikenali sebagai Sufi, 16, berkata dia adalah warga Malaysia yang sah walaupun tinggal di Golok sejak kecil.

"Ayah saya orang Pasir Mas, Kelantan, namun ibu orang Thailand. Kami tiga beradik semua bersekolah di sini kerana pendidikan di Malaysia lebih bagus berbanding di Thailand," katanya.
Previous Post Next Post