Bajet 2022: NUTP kecewa tiada penekanan kepada pendidikan digital



KUALA LUMPUR: Kesatuan guru berpandangan Bajet 2022 sewajarnya turut memberi tumpuan kepada penyediaan kelengkapan kemudahan pembelajaran digital secara menyeluruh dengan mengambil kira pengoperasian sekolah yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, berkata pihaknya kecewa kerana aspek pendigitalan kurang diberi penekanan dalam Bajet 2022.

"Kita tak nampak perkara ini dalam pembentangan semalam, jadi ia agak mengecewakan kerana sebelum ini (kerajaan) amat menekankan mengenai pendidikan digital.

"Mungkin ada (dalam Bajet 2022), tetapi ia tidak dinyatakan secara jelas bagaimana untuk memperkasakan pendidikan digital, berkaitan internet, infrastruktur dan pemilikan peranti untuk murid-murid," katanya hari ini.

Menyentuh bantuan khas alat bantuan mengajar sebanyak RM100 yang julung kali diperuntukkan dalam bajet khusus untuk guru, Aminuddin berkata, ia satu inisiatif yang baik dan simbolik kepada pengiktirafan kerajaan terhadap warga pendidik yang bertungkus lumus menjayakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Guru tidak seperti penjawat awam lain yang dibekalkan alatan ketika bertugas, kebanyakannya termasuk komputer riba menggunakan duit poket mereka.

"Jadi, walaupun jumlahnya kecil, tetapi untuk permulaan sudah cukup membuktikan kesungguhan guru yang mengambil pelbagai inisiatif walaupun bekerja dari rumah," katanya yang turut melihat ia sebagai satu suntikan semangat untuk warga pendidik terus memberikan perkhidmatan terbaik.

Aminuddin turut berterima kasih atas keprihatinan kerajaan kerana menaikkan jumlah peruntukan kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah daripada RM 80 juta kepada RM 1 bilion untuk tahun depan.

Bagaimanapun, beliau berharap sejumlah kecil daripada peruntukan itu dapat diagihkan ke setiap sekolah bagi memudahkan kerja penyelenggaraan berskala kecil dijalankan.

"Setiap tahun, pasti ada sahaja kerosakan kecil seperti pintu tandas dan paip sekolah, perkara ini tidak berisiko dan boleh diuruskan sendiri oleh pengurusan sekolah.

"Jadi, NUTP mencadangkan kerajaan salur terus bantuan penyelenggaraan sekurang-kurangnya RM5,000 ke setiap sekolah rendah dan menengah.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik, berkata pendidikan digital penting bagi memenuhi keperluan pembelajaran murid masa kini dan masa hadapan.

"KPM perlu fokus kepada kemudahan liputan internet percuma serta kemudahan pembelajaran digital yg interaktif bagi memenuhi dunia empat dimensi yang merujukkepada VUCA iaitu volatile (bergejolak), uncertain (tidak pasti), complex (kompleks) dan ambiguity (tidak jelas).

"Setiap kelas perlu dilengkapi dengan kemudahan peralatan digital seperti papan putih interaktif (smarboard), LCD (paparan kristal cecair), dan komputer," katanya.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam sesi pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat mengumumkan peruntukan terbesar berjumlah RM52.6 bilion iaitu 16 peratus daripada keseluruhan bajet untuk Kementerian Pendidikan (KPM).

Sebahagian besar peruntukan itu iaitu sejumlah RM1 bilion disediakan bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah bagi tahun depan, selain RM746 juta bagi menaik taraf sekolah daif dengan sebahagian besarnya membabitkan sekolah di Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut, Jasni berkata, menaik taraf makmal komputer dengan kemudahan perkakasan daripada penggunaan desktop kepada komputer riba sepenuhnya dapat mengurangkan kos penyelenggaraan dan turut memudahkan guru dan dan murid mengakses ilmu serta memastikan kelancaran pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Previous Post Next Post