PPD adalah nadi utama pendidikan negara- Pensyarah

Gags Teacher
0


Pagi ini berbual panjang dengan beberapa rakan yang lama berkhidmat di PPD. Menarik mendengar berbagai pandangan mereka khususnya tentang rencam urusan mereka di pejabat. 

Hampir dua jam berbual, saya dapati kebanyakan tugasan mereka tertumpu kepada menguruskan keperluan sekolah. 

Pada saya, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) adalah nadi utama pendidikan negara. 

Tentulah peranan utama PPD menjadi penyelaras dan fasilitator kepada semua arahan dari KPM kepada pihak sekolah. 

Pada masa yang sama, PPD juga menjadi SUARA rasmi pihak sekolah kepada JPN dan KPM. 

Tetapi dalam persekitaran pendidikan yang semakin dinamik, PPD mempunyai peranan besar sebagai penyambung hubungan masyarakat dan pendidikan. Maksudnya, PPD masa kini bukan sekadar menguruskan prasarana dan keperluan guru dan sekolah sahaja. Mereka juga mempunyai peranan membangunkan kefahaman masyarakat tentang pendidikan. 

Pegawai PPD perlu mempunyai hubungan yang erat dengan pemimpin masyarakat dalam daerah. PPD perlu rapat dengan imam-imam dan ketua agama setempat, ketua kampung, penghulu, pemimpin NGO dan komuniti industri setempat. 

PPD masa kini bukan sekadar menguruskan sekolah. PPD mempunyai tanggungjawab membangunkan pendidikan di daerah masing-masing. 

Pegawai PPD bukan sahaja menjadi pengurus pendidikan tetapi mereka sebenarnya adalah pemimpin pendidikan daerah. 

Menjadi tanggungjawab PPD memastikan komuniti dan masyarakat setempat mempunyai maklumat dan cakna tentang isu pendidikan. 

Sebab itu pasukan PPD perlu secara aktif anjurkan pelbagai libaturus pendidikan seperti perbincangan, mesyuarat, diskusi, forum dan ceramah dengan pelbagai pihak di dalam daerah mereka. 

PPD harus bergerak sebagai jentera memperkasa pendidikan dalam komuniti. Sekolah pula lebih khusus mengerakkan komunikasi dengan ibubapa atas urusan anak-anak mereka. 

Janganlah minta sekolah pula yang fikirkan bagaimana untuk mendekatkan pendidikan kepada masyarakat. Urusan sekolah adalah untuk ibubapa secara khusus. 

PPD perlu penjajaran semula dari segi fungsinya. Jika sekadar atas urusan birokrasi KPM, PPD sudah tidak diperlukan lagi. 

Dengan keupayaan digital dan Internet, pihak sekolah hari ini boleh terus sahaja berurusan dengan JPN tanpa perlu melalui PPD. 

Sebab itu PPD kena mula bangunkan keperluan dan peranan baru mereka sesuai dengan perubahan dalam masyarakat.

Dr Anuar Ahmad 
Pensyarah 
Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, 
Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)
Demos Buy Now