Cacat penglihatan tak halang Siti Aisah raih anugerah Guru Cemerlang

Siti Aisah (tengah) ditemani suami, Mohd Shukri Mamat dan anak ketika menerima Anugerah Guru Cemerlang sempena Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu pada Khamis.


KUALA TERENGGANU - Masalah penglihatan yang dialami sejak di bangku sekolah tidak menjadi halangan seorang guru dari Sekokah Kebangsaan (SK) Rhu Rendang, Marang meraih Anugerah Guru Cemerlang sempena Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu.

Siti Aisah Jamaludin, 42, yang berasal dari Selangor berkata, ia merupakan anugerah tertinggi sepanjang berkecimpung selama 18 tahun dalam bidang itu dan paling bermakna bermakna kerana tidak pernah terfikir menerima untuk menerima penghargaan ini.

"Saya bersyukur, kerana usaha yang dilakukan selama ini mendapat penghargaan. Saya akan terus berusaha dalam mendidik anak bangsa,"ujar guru mata pelajaran Sejarah itu.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui, kekurangan yang ada menyebabkan beliau sukar berhadapan dengan murid tetapi bertuah kerana suaminya, Mohd Shukri Mamat, 36 banyak memberikan sokongan walaupun turut mengalami masalah yang sama.

"Suami banyak membantu kerana saya perlu menggunakan bahan bercetak dan bertulis untuk mengajar.

"Sebelum masuk kelas saya perlu memastikan semua bahan-bahan siap dicetak dan ada seseorang untuk membantu membaca bahan tersebut sebelum diberikan kepada murid.

Siti Aisah (tengah) ditemani suami, Mohd Shukri Mamat dan anak ketika menerima Anugerah Guru Cemerlang sempena Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu pada Khamis.

"Suami juga mengalami masalah sama tetapi masih boleh melihat sekiranya berada di tempat yang terang tetapi tahap penglihatannya agak terhad dan kabur," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, di sini, pada Khamis.
Siti Aisah menerima Anugerah Guru Cemerlang Guru Kelainan Upaya (OKU) sempena Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu. 

Menurut Siti Aisah, beliau mula mengalami masalah penglihatan sejak berusia lapan tahun dan penglihatannya terus hilang ketika berusia 15 tahun.

Ditanya cabaran mengajar ketika tempoh pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) katanya, dia agak mudah untuk berinteraksi dengan murid melalui kaedah itu.

"Pada saya, mengajar secara bersemuka agak sukar berbanding secara maya kerana lebih mudah saya mengawal serta menyampaikan maklumat kepada pelajar.

"Medium itu memberi manfaat kepada individu seperti saya kerana pergerakan agak terbatas," katanya.

Pada majlis itu, Siti Aisah menerima wang tunai RM500 dan sijil penghargaan bagi Anugerah Guru Cemerlang Guru Kelainan Upaya (OKU) yang disampaikan Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.

Post a Comment

0 Comments