150,000 peranti Cerdik selesai diagihkan ke sekolah - Radzi Jidin

SEREMBAN: Kesemua 150,000 peranti di bawah inisiatif pembangunan pembelajaran digital jangka pendek (Cerdik) selesai diagihkan kepada pelajar yang memerlukan pada 29 Oktober lalu.


Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, di peringkat awal berlaku sedikit kelewatan dalam konteks pengagihan peranti mengikut spesifiksi ditetapkan apabila pergerakan terhad berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Namun begitu, akhirnya dari hari ke hari jumlah peranti yang diterima dan diagihkan itu meningkat sehingga pada 29 Oktober lalu kesemua 150,000 peranti yang patut diagihkan telah diterima kesemuanya kepada murid yang dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan kemasukan pelajar di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik, Bandar Enstek, Nilai di sini.

Menurut Radzi, peranti yang ke-150,000 itu telah diserahkan kepada pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinji, Ipoh iaitu Muhammad Harrith Irfan Mohd. Daniel Timothy.

“Jadi, saya amat berharap supaya perkara ini tidak dijadikan sebagai satu isu memandangkan pengagihan peranti telah selesai dilaksanakan dan murid-murid telah menggunakan peranti tersebut di dalam pembelajaran mereka,” katanya.

Jelas Radzi, inisiatif peranti di bawah Cerdik dibuat berdasarkan sumbangan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang diselaraskan oleh Yayasan Hasanah di bawah Khazanah Nasional.

“Jadi GLC dan GLIC memberi sumbangan yang diselaraskan oleh Yayasan Hasanah, di mana yayasan ini akan menghantar peranti ini ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara.

“Kementerian Pendidikan membantu mengenal pasti penerima dan mengagihkan peranti yang diterima daripada Yayasan Hasanah,” katanya.

Previous Post Next Post