Kehadiran murid Tahap 1 hampir 95 peratus

Gambar fail

JOHOR BAHRU: Hampir 95 peratus kehadiran murid tahap satu di seluruh negeri Johor, dicapai pada hari pertama sesi persekolahan secara bersemuka bermula hari ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang berkata jumlah kehadiran murid membabitkan Tahun Satu, Dua dan Tiga pada hari pertama adalah memberangsangkan. 

Katanya walaupun begitu, terdapat sedikit kebimbangan dan kegusaran dalam kalangan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah berikutan pandemik COVID-19. 

"Kehadiran murid seluruh negeri ini mencapai tahap hampir 95 peratus. Ia membabitkan Tahun Satu sebanyak 94.17 peratus, Tahun Dua (94.48 peratus) dan Tahun Tiga (93.13 peratus). 

"Kehadiran mereka mengikut sistem penggiliran murid iaitu 50 peratus hadir belajar secara bersemuka, manakala lagi 50 peratus belajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). 

"Alhamdulillah perjalanan persekolahan baik, kehadiran amat baik. Kita tidak jangka dapat banyak kehadiran kerana tiada paksaan untuk menghantar anak ke sekolah, ia satu jumlah yang menggalakkan," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa meninjau hari pertama sesi persekolahan semula secara bersemuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Angkatan Tentera di sini, hari ini.

Previous Post Next Post