Menteri cadang sekat gaji, pangkat penjawat awam enggan divaksin

KAKITANGAN awam yang enggan divaksin boleh dikenakan tindakan disiplin termasuk berdepan sekatan kenaikan gaji dan pangkat, berdasarkan undang-undang yang terpakai dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, proses itu perlu dilakukan dengan sebaiknya mengikut aturan ditetapkan termasuk pengeluaran surat tunjuk sebab oleh ketua jabatan kepada penjawat awam terbabit.

“Tindakan disiplin yang akan diambil ada prosesnya terutama sekali ketua jabatan perlu utus surat tunjuk sebab dan penjawat awam yang terlibat diberi tempoh 21 hari untuk jawab.

“Jika jawapan diterima tidak memuaskan, satu jawatankuasa disiplin akan dibentuk di peringkat jabatan itu untuk memutuskan tindakan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) di Dewan Rakyat pada Rabu yang mahu tahu mengenai tindakan setimpal ke atas kakitangan awam yang enggan menerima suntikan vaksin.

Foong Hin dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan, pada masa sama meminta Perdana Menteri menyatakan statistik penjawat awam yang enggan menerima vaksin Covid-19 tanpa alasan kukuh selepas JPA mewajibkan pengambilan vaksin itu.

Sebagai respons kepada soalan itu, Abdul Latiff memaklumkan bahawa setakat ini, kerajaan belum mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana kakitangan awam yang enggan atau belum menerima vaksin Covid-19, selepas JPA mewajibkan pengambilan vaksinasi itu mulai 1 November lalu.

"Hari ini 10 November iaitu 10 hari selepas pengambilan vaksin Covid-19 secara wajib dikuatkuasakan, namun tiada sebarang tindakan (disiplin) diambil,” katanya.

Ketika ini, terdapat kira-kira 1.8 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam masih enggan menerima vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman pada Isnin lalu mendedahkan penjawat awam di Kementerian Pendidikan dipercayai paling ramai belum mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, ketika ini JPA masih mengemas kini data penjawat awam yang masih belum divaksinasi dan proses itu dijangka selesai dalam tempoh dua minggu lagi.

"JPA sedang memadankan data-data mereka yang belum divaksinasi menggunakan Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) dan aplikasi MySejahtera daripada Kementerian Kesihatan," katanya.

Sumber — Majoriti
Previous Post Next Post