Guru enggan divaksin kini didakwa 'goyang kaki' di sekolah

KUALA LUMPUR - Di sebalik jaminan bahawa guru enggan atau belum menerima suntikan vaksin COVID-19 tidak akan terkecuali dalam melaksanakan keperluan tugasan sebagai pendidik, timbul dakwaan bahawa golongan itu kini hanya ‘goyang kaki’.


Menerusi dakwaan tular di WhatsApp itu, dimaklumkan guru sudah lengkap menerima imunisasi virus berkenaan terpaksa mengambil alih tugasan kumpulan pendidik yang menolak vaksin.

Lebih melampau, dakwaan itu mengatakan, guru lengkap divaksinasi terpaksa menjaga keselamatan pelajar di asrama walaupun perlu menumpukan kepada tugas mengajar.

“Yang Berhormat Perdana Menteri, kami menerima laporan mengenai masalah guru stress di sekolah menengah di daerah Pulau Tawar, Jerantut dan beberapa daerah serta negeri lain terpaksa mengambil alih tugas mengajar yang sepatutnya dilaksanakan guru ingkar vaksin.

“Kebanyakan guru yang tolak vaksin goyang kaki, tak perlu mengajar, cukup bulan dapat gaji. Guru selesai vaksin terpaksa mengajar kelas guru gagal vaksin.

“Kekurangan guru dan warden untuk menjaga keselamatan di asrama pelajar menyebabkan guru sudah divaksin ini terpaksa bergilir melakukannya, walaupun perkara ini bukan tugasan perlu dijalankan guru yang mengajar,” kata mesej yang tular berkenaan.

Pihak terbabit turut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil perhatian serta tindakan awal berhubung isu tersebut, bagi mengelakkan masalah di kemudian hari.

“Isu ini penting kerana kegagalan menyelesaikannya menerusi tindakan awal akan melahirkan kebencian dan stress dalam kalangan guru yang sentiasa menyokong kerajaan.

“Kami sangat berharap sentuhan Perdana Menteri untuk menyelesaikan masalah guru yang mula memikul beban dan stress diseluruh negara,” katanya.

Sebelum ini, KPM mengambil keputusan tidak membenarkan guru enggan atau masih belum menerima vaksin COVID-19 mengajar serta berinteraksi secara bersemuka dengan pelajar.

Keputusan itu dilaksanakan bagi memastikan sesi persekolahan fizikal kekal selamat untuk pelajar, guru dan pihak pengurusan sekolah yang sudah divaksin.

Namun, KPM menegaskan pihaknya akan memuktamadkan tindakan, termasuk kaedah dan tugasan yang akan ditetapkan untuk dilakukan guru enggan divaksin.

Diminta mengulas dakwaan itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Wang Heng Suan, berkata pihaknya tidak menerima aduan atau kes seperti dinyatakan.

Bagaimanapun, katanya, mereka boleh mengemukakan surat rasmi berhubung dakwaan tersebut kepada pihak berkaitan, termasuk NUTP bagi membolehkan kebenaran perkara berkenaan disiasat atau diambil perhatian sewajarnya.

Heng Suan berkata, seperti dimaklumkan KPM, guru tanpa vaksin tetap wajib menghadiri sesi persekolahan sama seperti guru diimunisasi, tetapi dilarang menjalankan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka bersama pelajar.

“Mereka (guru tidak vaksin) pergi sekolah pun kena buat kerja diberikan pengetua atau guru besar. Buat tugasan lain, mungkin mengajar menerusi kaedah lain, seperti sediakan bahan pengajaran atau kerja bersesuaian.

“Keputusan mengenai tugasan ini akan dibuat pengetua atau guru besar sebab semua sekolah keadaan tidak sama. Bukan semua sekolah terlibat sebab sudah tidak ramai guru tiada vaksin, iaitu hanya sekitar 1,400 orang,” katanya. 

Previous Post Next Post