24 murid Maktab Mahmud Sik positif COVID-19


SIK: Seramai 24 murid lelaki Maktab Mahmud Sik di sini, disahkan positif COVID-19 hari ini, selepas menunjukkan gejala sejak 28 November lalu. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata mereka adalah kes positif dalam kluster institusi pendidikan dikenali sebagai Kluster Dah Pelangi.

"Selepas sejumlah murid menunjukkan gejala pada 28 November, pengurusan sekolah berasrama itu telah melaksanakan saringan bersasar kepada murid-murid dan kes mula didaftarkan sebagai positif pada hari ini.

"Seramai 38 individu telah disaring setakat jam 12 tengah hari tadi yang mana, 24 daripada mereka didapati positif manakala 14 yang lain negatif COVID-19," katanya di sini, hari ini.

Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sik juga juga telah menjalankan isolasi dan pemerhatian membabitkan kesemua 24 murid berkenaan manakala kesemua kontak rapat telah diarahkan untuk menjalani kuarantin.

Hayati turut memaklumkan PKD masih menjalankan siasatan berhubung punca penularan jangkitan melibatkan kluster berkenaan.

Selain itu, katanya Maktab Mahmud Sik turut diberikan notis penutupan sekolah bermula hari ini sehingga kerja-kerja basmi kuman dan pencegahan penularan selesai dijalankan.

Sebubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah menyeru orang ramai terutamanya pengurusan sekolah untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh kerajaan dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

 

Previous Post Next Post