Banjir: Rebat 100 peratus 'one-off' bil elektrik bulan Disember - PM


HULU LANGAT: Bagi meringankan lagi bebanan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir, Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memberikan rebat seratus-peratus secara sekali bayar atau óne-off'' kepada mereka yang terjejas banjir bagi pembayaran bil bulan Disember.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Hulu Langat tengah hari tadi.

"TNB akan beri rebat seratus-peratus secara one off bil bagi bulan Disember. Ia akan beri manfaat kepada pengguna domestik. Namun ia (rebat) tidak libatkan kilang-kilang," katanya.

Dalam masa yang sama jelasnya TNB akan turut membantu mangsa-mangsa banjir untuk melakukan proses pendawaian elektrik bagi kediaman mereka yang memerlukannya secara percuma.

Selain itu juga katanya kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan syarikat pengeluar kereta Perodua yang turut bersetuju meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir disebabkan kenderaan mereka yang mengalami kerosakan.

"Saya nak umumkan dari segi kereta yang tenggelam. Untuk Perodua kalau insurans ada perkhidmatan tunda ia akan diberikan percuma ..dan bagi kereta Perodua bayaran untuk upah baiki adalah percuma.

"Cuma barangan alat ganti itu kena beli..Perodua bagi diskaun 50 peratus. Saya difahamkan Menteri Kewangan akan bincang dan runding dengan syarikat lain dan saya harap mereka boleh ikut Perodua dan kalau lebih daripada apa yang Perodua bagi kita sangat alu-alukan," jelasnya lagi.

Selain itu juga jelas perdana menteri, peruntukan sedia ada berjumlah RM100 juta kepada mangsa banjir bagi tujuan membaiki kediaman yang rosak akan ditambah mengikut keperluan.

"Jumlah (RM100 juta) sudah pastinya tidak akan cukup. Jadi kita akan tambah lagi peruntukan itu," katanya pada sidang media di Masjid Kampung Dusun Tua, di sini hari ini.

Ditanya mengenai cadangan permohonan Bantuan Wang Ihsan dibuat secara dalam talian, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Pasukan Petugas Khas dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali yang akan mengadakan mesyuarat pertama esok.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata 332 anggota tentera dikerah ke Maran, Raub, Temerloh, Jerantut dan Kuala Lipis untuk membantu proses pembersihan pascabanjir manakala 213 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut digerakkan bagi tujuan sama.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju memberi Bantuan Wang Ihsan kepada semua mangsa banjir sebanyak RM1,000, sumbangan RM10,000 kepada waris mangsa banjir yang meninggal dunia selain layak memohon pembiayaan Kewangan Peribadi tanpa faedah sehingga RM5,000 oleh Bank Simpanan Nasional (BSN).

Selain itu, TEKUN Nasional telah mengkhususkan dana berjumlah RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terjejas akibat bencana banjir dan bagi pinjaman sehingga RM10,000, tiada kadar faedah dikenakan dan moratorium bayaran balik diberikan untuk 12 bulan.

Terdahulu, Ismail Sabri membuat tinjauan kawasan terjejas banjir di sekitar Hulu Langat dan meninjau beberapa lokasi melihat proses gotong-royong pembersihan kawasan Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua oleh sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pasukan keselamatan terlibat.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang.

 

Previous Post Next Post