Banjir: Lokasi SMK Pulau Tawar tidak selamat, akan dipindahkan - MB

KEADAAN persekitaran sekolah yang ditenggelami air Sungai Pahang dalam kejadian banjir bermula pada 18 Disember lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tawar di Jerantut, Pahang. - UTUSAN

JERANTUT: Setiap kali musim tengkujuh pada penghujung tahun, guru dan kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tawar di sini serta penduduk di pesisir Sungai Pahang pastinya dihantui musibah banjir. 

Kebimbangan mereka menjadi realiti apabila setiap tahun boleh dikatakan air Sungai Pahang yang berdekatan kira-kira 600 meter memasuki kawasan sekolah tersebut. 

Musibah terburuk dalam sejarah sekolah itu pernah dilaporkan pada 1971, 1987, bah merah 2014, 2015 malah tahun ini sebanyak dua kali, iaitu pada Januari dan bulan ini menyebabkan kerosakan banyak harta benda yang menelan kerugian hampir jutaan ringgit. 

Bertolak daripada peristiwa tersebut, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan SMK Pulau Tawar yang terletak di Kampung Pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau tidak sesuai lagi sebagai tempat pembelajaran dan wajar dipindahkan ke kawasan selamat. 

“Hal ini dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah dan Pejabat Daerah di sini tentang rentetan kejadian banjir serta memberikan cadangan sekolah ini wajar dipindahkan dengan pembinaan bangunan baharu di tempat selamat. 

“Kerajaan Pahang tidak ada masalah untuk menyediakan tapak malah sudah ada pun kawasan di Kampung Bukit Rang yang dicadangkan oleh wakil rakyat di sini (Nazri) dan saya (kerajaan negeri) bersetuju sekiranya ada peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk projek sekolah baharu ini,” katanya di SMK Pulau Tawar dekat sini semalam. 

Wan Rosdy diiringi wakil rakyat setempat serta Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri dan Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris selain pentadbir, pengurusan sekolah, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat bergotong-royong membersihkan persekitaran sekolah, bilik darjah, asrama termasuk lokasi yang ditenggelami banjir berlaku pada 18 Disember lalu. 

Sempena program itu, Wan Rosdy turut menerima 200 kit berbentuk bantuan makanan kering serta barang sanitasi daripada Pengerusi Malaysia Medical Association (MMA) Bahagian Pengamal Perubatan Swasta, Dr. Balachandran S. Krishnan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Jerantut. 

Menurut Wan Rosdy, fenomena itu tidak boleh dibiarkan berterusan kerana boleh membantutkan pembelajaran pelajar apabila menyaksikan musim pejur diiringi musibah banjir, mereka terpaksa bercuti panjang dan perlu membersihkan sekolah semula apabila air surut malah tekanan kos kerugian yang banyak termasuk kerja pemulihan pasca kejadian ini. 

“Saya berasa sedih, tetapi reda dengan ujian Allah SWT kerana tahun ini sahaja sekolah ini sudah dua kali dilanda banjir yang dahsyat, iaitu pada awal tahun ini dan mulai 18 Disember lalu,” katanya. 

Sementara itu, Nazri yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang berkata, tapak untuk bangunan baharu sebenarnya sudahpun disediakan di Kampung Bukit Rang, iaitu terdapat lokasi penempatan penduduk yang lebih selamat berdekatan Jalan Jerantut ke Maran. 

“Kerajaan negeri dan Pejabat Daerah di sini sudah menyediakan tapak menerusi perancangan membina sekolah baharu dan mengharapkan kelulusan peruntukan Kerajaan Persekutuan. 

“Harapan penduduk Pulau Tawar supaya projek bangunan baharu direalisasikan di Bukit Rang tanpa mengambil masa yang lama kerana kita tidak mampu lagi menanggung kerugian yang banyak setiap kali banjir melanda termasuk gangguan pengajaran dan pembelajaran guru dan pelajar kawasan ini,” jelasnya.

 

Previous Post Next Post