Cikgu Ruzita redah banjir selamatkan kertas jawapan ujian murid

Ruzita Che Him menceritakan pengalaman pertamanya meredah banjir bagi menyelamatkan kertas peperiksaan akhir tahun subjek Geografi anak muridnya ketika ditemui di Kampung Chemperai, Dengkil hari ini. - Foto BERNAMA

DENGKIL: "Saya hanya fikirkan tentang kertas jawapan ujian anak-anak murid yang masih berada di dalam rumah," kata seorang guru yang sanggup meredah banjir kira-kira 600 meter bagi mengambil kertas ujian akhir tahun di rumahnya yang dilanda banjir di Kampung Chemperai di sini hari ini.

Ruzita Che Him, 52, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Changgang, Banting bersama suaminya, Baharuddin Mohd Yonan, 61, mengambil masa kira-kira sejam meredah banjir mencecah paras pinggang.

Menceritakan detik tersebut kepada Bernama, Ruzita berkata hatinya tidak tenang apabila terpaksa meninggalkan kediaman pagi tadi tanpa mengambil kertas jawapan ujian mata pelajaran Geografi muridnya.

"Saya sempat ambil kertas jawapan mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi sahaja. Kertas jawapan Geografi pula, saya hanya sempat letak di tempat tinggi.

"Alhamdulillah dapat selamatkan kertas jawapan tersebut ," katanya yang mengajar pelajar Tingkatan 2 bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut.

Menyifatkan banjir kali ini sebagai paling teruk berbanding tahun-tahun lepas, Ruzita berkata ia merupakan pengalaman mencemaskan sepanjang bergelar warga pendidik sejak 1996.

"Inilah pengalaman kali pertama saya meredah banjir. Memang tidak akan lupa. Apa yang penting semuanya selamat," katanya yang berasal dari Kelantan.

Beberapa lokasi di Sepang dilanda banjir sejak petang semalam susulan hujan lebat yang menyebabkan air Sungai Langat melimpah ke kawasan perumahan di sekitar Kota Warisan dan Dengkil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat 12 tengah hari tadi di Bandar Baru Salak Tinggi dan Dengkil bagi menempatkan mangsa terjejas.

Susulan kejadian itu, lima laluan di sekitar Sepang ditutup sementara waktu untuk semua kenderaan antaranya Jalan Labu Lanjut ke Taman Dataran Abadi, Jalan Kota Warisan ke Bandar Baru Salak Tinggi dan Jalan Bukit Changgang ke Bandar Baru Salak Tinggi.

 

Previous Post Next Post