KKM kesan 11 lagi kes varian Omicron di Malaysia


PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 11 lagi kes varian Omicron di negara ini iaitu kesemuanya kes import, melibatkan pengembara warga Malaysia dan warga asing dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Nigeria, Arab Saudi dan Australia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, masing-masing tiga kes dari United Kingdom dan Amerika Syarikat, masing-masing dua kes dari Nigeria dan Arab Saudi dan satu kes dari Australia.

“Ia melibatkan sembilan kes warga Malaysia manakala dua kes warga Nigeria. Terdapat lapan kes mempunyai gejala, namun hanya pada tahap kategori dua dan tiga lagi kes tidak bergejala.

“Lima kes menjalani kuarantin di rumah, manakala enam kes menjalani kuarantin di stesen kuarantin. Kesemua kes ini sedang dalam siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca jangkitan dan kontak rapat,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Beliau berkata, 11 kes tersebut dikesan selepas ujian dijalankan terhadap 18 kes yang disyaki berkemungkinan varian Omicron seperti diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 16 Disember lalu.

“Tujuh lagi sampel bagaimanapun tidak dapat disahkan varian Omicron memandangkan ujian jujukan genom penuh tidak berjaya dijalankan disebabkan tahap viral load yang rendah dalam sampel-sampel yang diterima.

“Ketujuh-tujuh sampel didapati mempunyai nilai kitaran ambang (CT value) yang tinggi iaitu enam sampel dengan CT value melebihi 30 dan satu sampel mempunyai CT value 28.47,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, pengesanan 11 kes tersebut menjadikan jumlah kumulatif kes import yang disahkan varian Omicron adalah 13 kes, manakala semalam Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga mengesan 13 lagi kes import menunjukkan kemungkinan varian Omicron.

Katanya, keputusan pengesahan daripada jujukan genom penuh (WGS) sedang ditunggu dan maklumat lanjut mengenainya akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 222 kes baharu varian dilaporkan dari 11 Disember sehingga 17 Disember melibatkan 128 kes baharu kesemuanya Variant of Concern (VOC) iaitu 117 varian Delta (B.1.617.2) dan 11 varian Omicron (B.1.1.529) dikesan oleh IMR.

“Seterusnya, Malaysian Genome & Vaccine Institute (MGI) mengenal pasti 48 kes baharu varian Delta (B.1.617.2) manakala, UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI) mengenal pasti 46 kes baharu yang kesemuanya VOC iaitu varian Delta (B.1.617.2).

“Sehingga kini, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV 2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 5,213 kes. Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 5,193 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI,” jelasnya.

Tambah beliau, secara keseluruhan, bagi VOC terdapat 4,933 kes varian Delta, 233 kes varian Beta, 14 kes varian Alpha dan 13 kes varian Omicron manakala bagi kes-kes VOI, terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta.

“Justeru, dengan peningkatan kes import varian Omicron di Malaysia ini, KKM mempertingkatkan lagi aktiviti kawalan dan pencegahan Covid-19 termasuk varian Omicron di semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dan di dalam komuniti.

“KKM menggalakkan supaya setiap individu mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 agar tahap perlindungan yang optimum dapat dicapai bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di Malaysia. Terus amalkan norma baharu dan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada,” katanya.
Previous Post Next Post