Guru maut dipercayai dibunuh abang kandung

 

Celesty Christy Celestina Sili

Tuaran – Seorang guru wanita berusia 41 tahun ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah di belakang rumah keluarganya di Tenghilan, dipercayai akibat dibunuh oleh abang kandungnya yang mempunyai sejarah penyakit mental.

Mangsa dikenali sebagai Celesty Christy Celestina Sili. Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin memaklumkan bahawa suspek berumur 47 tahun telah ditahan sejurus selepas kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian leher, kepala serta kedua-dua mata dipercayai akibat tikaman senjata tajam. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi media.

Tambah beliau, suspek pernah mendapatkan rawatan di pusat kesihatan mental dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk dibedah siasat hari ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang andaian yang boleh mengganggu siasatan dan digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran di talian 088-794313.
Previous Post Next Post