KPM siasat warga Pakistan rasmi program sukan sekolah

Tular video lelaki dipercayai warga asing merasmikan program sukan sebuah sekolah rendah di daerah Kerian. Foto ihsan pembaca (Gambar kecil: Fadhlina) - Gambar Sinar Harian


IPOH: Kementerian Pendidikan Malaysia sedang menyiasat dakwaan bahawa seorang lelaki warga Pakistan telah merasmikan satu program sukan di sebuah sekolah kebangsaan di daerah Kerian.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau memaklumkan perkara itu kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447 Hijrah Peringkat Negeri Perak yang disempurnakan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah malam ini.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki Pakistan diberi penghormatan merasmikan Majlis Sukan Olahraga Sekolah Kebangsaan Sama Gagah di Kampung Sama Gagah, Simpang Empat Semanggol.

Sementara itu, Fadhlina menzahirkan penghargaan kepada Sultan Nazrin selepas menerima Anugerah Saidina Abu Bakar As-Siddiq bagi pihak ibunya Allahyarham Datin Dr Siti Zalikhah Md Nor.

"Beliau adalah seorang pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia dan pembela undang-undang syariah.

"Oleh itu, ia adalah kepakaran beliau yang sentiasa mengangkat tema pemberdayaan wanita dalam semua aspek," katanya. -- BERNAMA

 

Previous Post Next Post