KPM batal semua kelulusan penglibatan politik pegawainya serta-merta


11 Disember - Semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dan ahli akademik dihadkan penglibatan dalam politik hanya sebagai ahli biasa berkuatkuasa serta merta.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di dalam satu surat arahan pembatalan kelulusan penglibatan penjawat awam di dalam politik bagi warga KPM.

"Semua pegawai awam di semua peringkat Kumpulan / Gred tidak dibenarkan sama sekali bertanding atau memegang jawatan atau dilantik dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik," katanya.

Beliau berkata perkara tersebut juga telah dibincangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Antirasuan (JAR) pada 27 September 2021 yang lalu dan mesyuarat tersebut telah membuat ketetapan supaya semua warga KPM yang terlibat dalam memegang jawatan atau dilantik dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik perlu melepaskan jawatan di dalam parti politik berkenaan dan kelulusan yang telah diberi sebelum ini dibatalkan.

Perkara ini juga menurutnya telah mendapat pandangan Unit Undang-Undang KPM dan keputusan yang dibuat adalah tepat berdasarkan peraturan yang berkuat kuasa.

"Sehubungan dengan itu, semua warga KPM (semua skim dan gred) yang masih lagi memegang jawatan di dalam mana-mana parti politik hendaklah melepaskan jawatan politik mereka dengan serta merta. 

"Kegagalan berbuat demikian, pegawai tersebut boleh dikenakan tindakan tatatertib melalui Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) [P.U.(A) 395]," jelasnya lagi.

Arahan tersebut berkuat kuasa pada tarikh surat tersebut dikeluarkan.
Previous Post Next Post