Murid prasekolah tanam kangkung, kongsi 10 keluarga

Afiq Aryan Rosman menunjukkan hasil tanaman kangkung di depan rumah. - Harian Metro


Slim River: Berbekalkan modal RM10, Muhammad Afiq Aryan Rosman, 6, mula menanam kangkung dan kini, hasil tanaman itu turut dikongsinya dengan 10 keluarga lain. 

Muhammad Afiq Aryan yang juga murid pra Sekolah Kebangsaan Sri Keledang tinggal bersama ibu bapanya di Taman Slim Permata dekat sini. 

Muhammad Afiq Aryan berkata, dia membeli tiga paket benih kangkung pada harga RM6 dan bakinya digunakan bagi membeli baja. 

"Modal itu hasil tabungan saya yang diberikan keluarga. Menanam kangkung juga bukannya sukar kerana selepas disemai, saya hanya perlu menyiramnya mengikut waktu ditetapkan. 

"Kangkung tidak mengambil masa yang lama untuk dituai dan penjagaannya pula mudah. Walaupun laman hadapan rumah tidak luas namun kangkung yang tanam boleh dinikmati oleh saya sekeluarga dan jiran," katanya. 

Muhammad Afiq Aryan berkata, sebelum ini dia tidak gemar makan sayuran namun selepas menanam sendiri kangkung, dia mula menyukai sayu-sayuran. 

"Selepas tiga minggu ditanam, kangkung dituai dan dimasak oleh ibu. Selebihnya saya sedekahkan kepada jiran.

"Aktiviti ini saya lakukan waktu lapang sejak sekolah dibuka dan harap rakan-rakan lain boleh cuba menanamnya," katanya.

 

Previous Post Next Post