Pakar cadang wujudkan ‘unit perisik’ di sekolah atasi buli

Tangkap layar video tular berkenaan kes buli yang didakwa berlaku di sebuah sekolah di Perak. (Gambar kecil: Zalmizy) A

SHAH ALAM - Pakar Kriminologi, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) Universiti Utara Malaysia, Sintok, Dr Zalmizy Hussin mencadangkan unit risikan diwujudkan di sekolah dan asrama bagi memantau pergerakan, tingkah laku aktiviti seharian pelajar. 

Jelas beliau, pihak sekolah melalui guru disiplin secara sulit dicadangkan merekrut pelajar yang berkelayakan bagi menggalas tugas sebagai perisik sekolah. 

“Peranan perisik sekolah memainkan peranan mengawasi tingkah laku rakan-rakan mereka supaya tidak terjebak dalam kegiatan jenayah buli atau menganggotai kumpulan gengster kecil di sekolah,” katanya. 

Selain itu, Zalmizy berkata, pihak sekolah perlu mewujudkan iklim sekolah yang positif bagi mengelak berlakunya kes buli di sekolah. 

“Kita akui iklim sekolah boleh menjadi sukar ditentukan, walaupun boleh diukur. 

“Iklim yang positif dikaitkan dengan rasa berada di sekolah, yang boleh timbul daripada sapaan, cara masalah diselesaikan atau bagaimana orang bekerja bersama kita. Ia juga ‘hati dan jiwa’ sekolah, ‘kualiti dan perwatakan’. 

“Sekolah dengan iklim positif memupuk suasana yang sihat, manakala, iklim sekolah yang negatif pula dikaitkan dengan kadar buli, tingkah laku agresif, penganiayaan dan perasaan tidak selamat pelajar yang lebih tinggi,” katanya. 

Mengulas lanjut, Zalmizy berkata, pihak sekolah juga perlu menggunakan pendekatan pembelajaran sosial dan emosi bagi meningkatkan kesejahteraan emosi, kawalan kendiri, hubungan bilik darjah dan tingkah laku yang baik serta suka menolong dalam kalangan pelajar.

 



Sumber - Sinar Harian Plus
Previous Post Next Post