Orang ramai hantar bantuan banjir, penuhi parkir stadium

Timbunan beg plastik dan kotak pelbagai jenis barangan dihantar di kawasan parkir Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi

SEREMBAN - Penyatuan rakyat Malaysia dalam membantu mangsa-mangsa banjir jelas terserlah apabila timbunan beg plastik dan kotak berisi pelbagai jenis barangan keperluan dihantar ke parkir Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi di sini pada Ahad.

Program pengumpulan barangan untuk mangsa banjir yang dianjurkan secara bersama oleh Persatuan Ikatan Amal Muafakat Malaysia dan Persatuan Belia Dinamik Barat itu nyata mendapat sambutan menggalakkan.

Mohd Shahril Pengerusi Persatuan Ikatan Amal Muafakat Malaysia, Mohd Shahril Anuar, 36, berkata, dia tidak menyangka program yang hanya diuar-uarkan di Facebook dan WhatsApp itu mendapat sambutan luar biasa.

"Membantu mangsa-mangsa banjir ini bukan perkara baharu buat kami. Tapi nampaknya sambutan kali ini di luar duga.

"Program bermula dari jam 12 tengah hari sehingga jam 4 petang, orang ramai tak putus-putus hantar bantuan sehingga menyebabkan jalan masuk ke stadium ini sesak," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, kesemua barangan berkenaan akan disusun di Kompleks Belia dan Sukan Paroi (Kombes) dan balai raya Taman Ampangan. Sumber: Sinar Harian
Previous Post Next Post