Pendidikan berkualiti tidak akan tercapai dengan bilik darjah yang sesak - Dr Anuar


Mahukan anak-anak kita mendapat pendidikan berkualiti? Jika mahu, eloklah ibubapa sendiri suarakan beramai-ramai supaya KPM selesaikan masalah asas sistem pendidikan negara iaitu.

Bilik darjah yang sesak 

Jika anda ada peluang berada di dalam bilik darjah anak-anak anda untuk satu hari, anda akan dapat rasai keadaan sebenar perasaan anak-anak anda. 

Anak-anak kita tiada suara. Suara mereka tidak didengari. Mereka hanya mampu menahan sahaja. Bilik darjah sesak, panas, bising, rimas, mereka tahan sahaja. 

Ditambah lagi dengan masalah beg sekolah yang terlalu berat dan mata pelajaran pula yang terlalu banyak untuk dihadam. 

Terus hilang keseronokan untuk belajar. Apa lagi mahu berfikir secara mendalam untuk menyelesaikan masalah, berbincang dan meneroka pengalaman dan perkara baru dengan rakan-rakan. Tak mampu mereka lakukan semua itu. 

Kadang kala terfikir juga, ke mana sebenarnya hala tuju sistem pendidikan negara kita ini? Untuk memenuhi citarasa siapa? Apa hasil akhir pendidikan yang kita inginkan pada anak-anak kita? 

Sebenarnya anak-anak kita sedang belajar di dalam kelas yang terlalu sesak. Ada bilik darjah sampai 40- 45 murid. Ada yang lebih dari itu khususnya di sekolah yang berada di kawasan penduduk padat. 

Bayangkan setiap hari anak-anak anda belajar dalam kelas yang sesak, panas dan persekitaran yang tidak memungkinkan aktiviti pembelajaran dilakukan secara aktif. Mereka rimas dan bosan. 

Tapi kita tak pernah rasai apa perasaan mereka. Samalah dulu, berapa ramai ibubapa kita yang tahu perasaan kita bila berada di dalam bilik darjah yang sesak. 

Masalah yang berlanjutan tanpa penyelesaian

Ini masalah pendidikan yang sudah terlalu lama. Bayangkan pula bagaimana guru terpaksa menggunakan sepenuh suara dan tenaga mereka untuk mengawal kelas, mengajar dan melakukan pentaksiran secara langsung pada murid. 

Di negara lain, bukan sahaja bilangan murid tidak ramai, malah guru mata pelajaran disediakan pula pembantu guru untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar. 

Mengapa kita tak boleh lakukan? Kita tak ada duit? Atau pendidikan berkualiti untuk anak-anak tidak sepenting projek yang lain? Boleh diketepikan dulu? 

Saiz bilik darjah yang ideal

OECD, UNESCO dan ramai pakar pendidikan menetapkan saiz yang baik untuk sesebuah bilik darjah ialah 20-25 murid. 

Lebih kecil bilangan murid di dalam sebuah kelas lebih baik. 

Tahukah anda, betapa gembiranya guru dan murid-murid bila mereka sedang dalam mod sistem penggiliran kehadiran sekarang? 

Cuba tanya anak-anak anda. 'Seronok tak belajar bila tak ramai murid-murid dalam kelas sekarang?' 

Saiz kelas atau bilangan murid dalam sesebuah bilik darjah adalah indikator penting dalam memastikan pendidikan berkualiti dicapai. 

Jangan bercakap tentang pendidikan berkualiti kalau bilik darjah anak-anak kita masih sesak.

Dr Anuar bin Ahmad
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti 
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Previous Post Next Post