Seronok tanam sayur untuk subjek RBT


JELEBU : Kelas untuk subjek Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra di sini bukan hanya terhad di dalam bilik darjah.

Sebaliknya, menerusi kreativiti dan kesungguhan guru besar sekolah berkenaan, murid turut diberikan peluang untuk bercucuk tanam dalam projek fertigasi D'Putra.

Guru besar, Syed Zulkafli Syed Abdul Karim, berkata projek berkenaan dimulakan sejak Oktober lalu dan hingga kini sudah empat kali tanaman seperti sawi, kangkung dan bayam dituai.

"Kami membuat permohonan kepada Pejabat Pertanian Daerah Jelebu sebelum dua para dan sistem fertigasi dipasang di sekolah.

"Projek ini adalah sebahagian daripada pembelajaran subjek RBT dan berdasarkan pemerhatian, kita mendapati murid lebih seronok belajar apabila dapat ikut serta dalam projek ini.

"Malah mereka aktif bertanya soalan misalnya sama ada sayur boleh atau tidak hidup tanpa menggunakan tanah," katanya.

Tegas Syed Zulkafli, projek itu diseliakan oleh guru pembimbing, Puteri Dang Sari Othman dan ia disertai oleh 15 murid.

"Sayur dituai bukan saja dijual kepada guru tetapi ada juga kalangan penduduk yang membelinya," katanya.

Tegasnya, sekolah berkenaan juga bercadang membesarkan lagi projek fertigasi itu dengan menyemai benih sayur lain pula.

Bagi murid Tahun Lima, Cristiano Sema, dia gembira kerana dapat mempelajari sesuatu yang baharu bukan sahaja secara teori malah diberi peluang mengaplikasikan apa yang dipelajarinya.

"Saya seronok belajar subjek RBT ini disebabkan guru memberi peluang kepada kami untuk merasai sendiri bagaimana proses menanam sayur secara fertigasi bermula daripada penyemaian anak benih dan penjagaan.

" Kita juga diajar bagaimana sistem fertigasi ini berfungsi. Sebelum ini saya tidak mengetahui kaedah ini yang ternyata lebih mudah berbanding menanam sayur di atas tanah," katanya.

Bagi murid Tahun Enam, Yong Kai Ling, pendedahan diberi guru menerusi penanaman sayur secara fertigasi menyebabkan dia lebih bersemangat untuk belajar.

"Apabila ikut dalam projek ini, baru saya tahu teknik ini lebih mudah berbanding tanam sayur atas tanah malah tidak perlu siram air pun.

"Lagipun, sebab ia ditanam di atas para sayur tidak terdedah kepada haiwan ternakan seperti kambing atau ayam," katanya.
Previous Post Next Post