Prinsip dan Tujuan Teknik Menyoal KBAT

Imej hiasan

KEMAHIRAN Berfikir Aras Tinggi (KBAT) sudah menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan di Malaysia sejak Januari 2013 apabila Kementerian Pendidikan Malaysia mula menjalankan kursus dan taklimat mengenainya.

KBAT diperkenalkan sebagai usaha membentuk kemahiran intelek tinggi dalam kalangan pelajar yang merangkumi keupayaan menganalisa, mengaplikasi, menilai dan mencipta. Ia membabitkan pemikiran secara kritikal, kreatif, logikal atau secara mudahnya mendidik murid mencerap informasi sebelum mengeluarkannya dengan cara kritis dan kreatif.

Bagaimanapun, ada pandangan menyebut usaha menerap KBAT dalam kalangan pelajar dianggap mencabar. Namun sebenarnya ia boleh dimahirkan dalam kelas menerusi pelbagai aktiviti membabitkan penaakulan, penyelesaian masalah atau pembelajaran berasaskan projek. Bimbingan guru mampu menambah kemahiran murid dalam meningkatkan amalan berfikir dan menganalisis yang membantu meningkatkan kefahaman mereka.

1. TINGKATKAN SOALAN ARAS TINGGI

Bagi membiasakan pelajar dengan soalan sebegini, maka guru hendaklah sentiasa memberikan soalan berbentuk KBAT. Semakin banyak soalan KBAT, semakin luas tahap pemikiran seseorang pelajar itu. Antara ciri soalan KBAT adalah yang berbentuk menguji kemahiran berfikir pelajar pada tahap analisa, sintesis dan juga penilaian. Jadi soalan dengan awalan, wajarkah?, cadangkan atau ramalkan adalah antara kaedah yang perlu diperbanyakkan.

2. PELBAGAIKAN AKTIVITI PENYELESAIAN MASALAH

Bagi menggalakkan pelajar berfikir secara KBAT, guru boleh memperbanyakkan lagi aktiviti yang membabitkan penyelesaian masalah. Keadaan ini akan menggalakkan murid cenderung menggunakan kemahiran menganalisa, mensintesis dan juga menilai apakah konsep sesuai yang boleh diguna pakai untuk menyelesaikan masalah.

Objektif dalam menyelesaikan masalah juga haruslah diterapkan iaitu bagi membolehkan penyelesaian terbaik dibuat. Jadi, langkah yang perlu diambil adalah bermula dengan menyedari apakah permasalahannya, kemudian memahaminya seterusnya maklum variasi penyelesaian yang ada, meninjau kesan daripada setiap pilihan yang ada sebelum memilih kaedah penyelesaian terbaik.

3. TEKNIK MENYOAL

Teknik menyoal adalah kaedah paling lama dan sangat popular dalam bidang pendidikan. Pemilihan teknik ini dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat melahirkan interaksi antara guru dan pelajar secara berkesan. Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru mengemukakan soalan yang berkaitan dan murid dikehendaki memberi tindak balas yang sewajarnya. Kejayaan penggunaan teknik ini dalam PdP bergantung kepada kebolehan guru untuk menguasai teknik menyoal.

Antara perkara penting ketika berkomunikasi adalah aktiviti bertanya. Kemahiran ini bukan sekadar untuk mendapatkan sesuatu maklumat, tetapi juga membantu kita membina iklim komunikasi yang positif dan memupuk sikap saling memahami dan bekerjasama.

-------------------------------------------------------------

Tujuan teknik menyoal

  • Melihat keupayaan pelajar memahami sesuatu maklumat
  • Mengalih perhatian pelajar daripada satu fakta kepada fakta yang lain
  • Menegaskan kepentingan isi
  • Mengarah pelajar ke arah membentuk konsep pemahaman yang tersendiri
  • Mengesan pengetahuan berbahasa pelajar
  • Menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif, inovatif, logik dan juga kritis
  • Mendorong pelajar menyusun dan menghuraikan bahan yang diajar

-------------------------------------------------------------

Prinsip panduan menyoal

  • Soalan hendaklah dirancang
  • Soalan bersesuaian dengan peringkat kebolehan pelajar
  • Aras soalan tidak terlalu senang dan tidak juga terlalu sukar
  • Beri peluang kepada pelajar untuk berfikir mengenai jawapan
  • Kemukakan soalan kepada keseluruhan kelas
  • Elakkan daripada mengemukakan soalan kepada murid tertentu sahaja
  • Kemukakan soalan terlebih dahulu sebelum menentukan nama murid
  • Bentuk soalan perlu diubah-ubah untuk menarik perhatian murid
  • Soalan dapat didengar dengan jelas oleh pelajar seluruh kelas
  • Soalan haruslah mampu mendorong pelajar untuk berfikir
  • Elakkan soalan yang mengandungi jawapan di dalamnya
  • Soalan hendaklah ringkas dan juga jelas

-------------------------------------------------------------

4. AKTIVITI PEMIKIRAN ARAS TINGGI DALAM BUKU TEKS

Kita mungkin tidak menyedari bahawa buku teks yang disediakan sudah lama mengandungi aktiviti yang boleh merangsang pemikiran aras tinggi. Perhatikan semula kandungan dalam buku teks serta aktiviti yang disediakan bagi pembelajaran tertentu. Gunakanlah sebaiknya aktiviti dalam buku teks bagi membentuk pelajar yang mahir dalam menggunakan KBAT.

5. PEMBELAJARAN BERASASKAN PROJEK

Satu lagi perkara yang boleh menggalakkan pelajar untuk berfikir secara KBAT adalah dengan memperbanyakkan aktiviti pembelajaran yang berasaskan projek, pembelajaran berasaskan projek (project-based learning).

Pembelajaran berasaskan projek adalah pelaksanaan program atau aktiviti dalam jangka panjang. Proses pembelajaran ini memerlukan pelajar bekerjasama, misalnya menyediakan soalan berkaitan projek dan penyelidikan dengan mengumpulkan data, menganalisis serta menghasilkan laporan sama ada secara lisan atau pun bertulis.

Proses ini membolehkan pelajar didedahkan dengan kemahiran berfikir dalam menyelesaikan tugasan. Justeru, pelajar perlu dibabitkan dalam proses pembelajaran yang aktif dan menyeronokkan.

Guru Cemerlang Sains (SMK Jerlun, Kedah)

 

Previous Post Next Post