2022 tahun terbaik untuk reformasi kesuluruhan sistem pendidikan negera


KUALA LUMPUR: Tahun 2022 merupakan tahun yang tepat untuk sektor pendidikan melaksanakan reformasi bagi memastikan sektor tersebut kembali ke landasannya setelah negara terkesan akibat isu banjir dan pandemik COVID-19.

Menurut Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, usaha reformasi ini perlu dilaksanakan segera bagi melestarikan sistem pendidikan yang lebih berkualiti.

Tambahnya, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi keutamaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), selain daripada meneruskan agenda memastikan tiada keciciran pelajar berlaku sepanjang pandemik, isu sekolah daif di kawasan pedalaman dan juga kesesakan sekolah di bandar-bandar besar turut perlu diberi perhatian.

"Kita juga harus melakukan reformasi pendidikan kepada kurikulum kerana kurikulum yang sedia ada ini dilihat agak ketinggalan yang mungkin tidak lagi relevan untuk pelajar-pelajar yang menjadi sumber manusia dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang. Selain itu, kita memerlukan kurikulum pendidikan yang berdaya saing dan lebih futuristik," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.

Jelasnya, dengan melaksanakan usaha itu ianya sekali gus dapat menyelesaikan beberapa isu termasuk beban guru, beg sekolah yang berat dan juga subjek pendidikan yang terlalu banyak di peringkat sekolah rendah sehingga menyebabkan ada pelajar yang tidak berminat untuk meneruskan pembelajaran mereka.

Sementara itu, jelas Dr Anuar, reformasi sistem pentadbiran pendidikan negara perlu dilaksanakan agar tidak lagi terbelenggu dengan hanya mengamalkan sistem pengurusan dan pentadbiran bersifat berpusat yang diwarisi daripada sistem yang telah dibangunkan oleh penjajah sejak 64 tahun yang lalu.

"Pada masa hadapan kita memerlukan satu sistem yang disentralisasi yang lebih memberi kuasa dan memberi peluang pihak guru, pihak guru besar, pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) membuat keputusan pengurusan pendidikan yang penting dan tidak hanya tertumpu kepada dibuat di peringkat Pusat ataupun di Putrajaya.

"Ini termasuk dapat memberikan autonomi termasuk pengambilan guru baharu, penyediaan modul-modul pembelajaran, penjadualan penutupan atau pembukaan sekolah jika berlaku sebarang masalah ataupun bencana, serta bagaimana guru-guru dapat merancang pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah mengikut kesesuaian dan kebolehan pelajar," katanya lagi.

Di samping itu, Dr Anuar turut menegaskan, pentingnya program latihan guru untuk dilihat semula demi memenuhi keperluan matlamat dan pendidikan di masa hadapan termasuk perlu merangkumi aspek teknologi maklumat dan cara mengendalikan psikologi pelajar ketika menghadapi sebarang masalah atau bencana yang mampu menganggu emosi atau proses pembelajaran mereka.

Katanya, inisiatif itu juga bagi melahirkan guru yang penyayang serta tidak hanya tertumpu kepada kecemerlangan akademik pelajar semata-mata namun melihat kepada potensi seseorang pelajar itu dari pelbagai bidang mengikut minat, kecenderungan dan bakat yang dimiliki.

 

Previous Post Next Post