8,120 guru baharu one-off mula dapat penempatan di sekolah


Putrajaya - Seranai 8,120 guru baharu bagi pengambilan khas secara one-off yang berjaya dalam temuduga fasa 2 dan 3 telah boleh mula membuat semakan penempatan bermula semalam. 

"Guru-guru ini akan mula melapor diri di sekolah masing-masing pada 1 Mac 2022," kata menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin. 

Pengambilan khas guru secara one-off yang melibatkan keseluruhan 18,702 orang adalah bagi merungkai isu kekurangan guru yang telah berlarutan sekian lama. 

"Kepada calon yang berjaya dipilih, tahniah dan selamat bertugas saya ucapkan. 

"Manfaatkanlah peluang menjadi guru untuk bekerja setulus hati ke arah melahirkan generasi pewaris negara yang lebih hebat," katanya lagi. 

KPM menurutnya akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku Pihak Berkuasa Melantik untuk mempercepatkan pelantikan dan penempatan baki pengambilan guru one-off dalam masa terdekat. 

"Ini amat penting bagi menampung keperluan guru, khususnya bagi sesi persekolahan akan datang. 

"InsyaAllah KPM akan berusaha untuk menyelesaikan perkara yang telah lama berlarutan satu per satu. Teruskan memberi sokongan anda demi pendidikan generasi pewaris negara," katanya lagi.
Previous Post Next Post