Covid-19: Laksana semula PdPR ekoran kes positif kanak-kanak meningkat


GEORGETOWN - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa mempertimbangkan untuk mengambil pendekatan menutup sekolah dan melaksanakan semula sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Oh Tong Keong berkata, peningkatan kes positif Covid-19 di kalangan kanak-kanak ketika ini amat membimbangkan.

Berikutan itu, Tong Keong berkata, KKM dan KPM harus memberi perhatian sepenuhnya kepada penularan kes Covid-19 di sekolah agar rantaian wabak itu dapat diputuskan.

"Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga perlu beri penjelasan kepada rakyat berhubung tindakan kerajaan yang terus memberi kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika varian Omicron mengganas di negara kita," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Tong Keong berkata, kerajaan pusat sebelum ini telah memendekkan tempoh pengasingan diri bagi individu yang didapati menjadi kontak rapat.

Selain itu, kerajaan juga mengumumkan pemansuhan prosedur pengasingan ini di sektor perkhidmatan kesihatan awam sekiranya individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit tidak mempunyai gejala Covid-19.

Beliau berkata, perancangan kerajaan untuk membuka semula sempadan juga menunjukkan kerajaan bersiap sedia untuk menamatkan pandemik Covid-19 dengan strategi imuniti kelompok.

"Kerajaan perlu mengambil iktibar terhadap negara lain yang gagal menamatkan pandemik ini dengan strategi imuniti kelompok.

"Kita perlu ada perancangan yang lebih teliti untuk mengelakkan negara kita menghadapi masalah sama atau keadaan lebih mencabar khususnya apabila negara kita diserang varian baharu ini," katanya.

Dalam pada itu, Tong Keong berkata, ramai warganegara mempunyai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kolesterol dan gula tinggi yang mana penyakit ini akan merosakkan organ dan sistem imun.

Tegasnya, kerajaan harus mengambil kira isu-isu ini apabila melaksanakan strategi imuniti kelompok.

"Walaupun tahap kemusnahan Omicron tidak berbahaya serta tidak seganas varian Delta, tetapi jangan kita memandang remeh kerana mungkin berlakunya penggabungan pelbagai virus dan wujud lagi varian baharu yang lebih ganas.

"Contohnya Deltacron yang merupakan gabungan antara varian Delta dan Omicron yang disyaki ditemui di United Kingdom," katanya.
Previous Post Next Post