1,258 pelajar positif Covid-19, 11 sekolah di Melaka tutup


MELAKA - Sebanyak 11 buah sekolah di Melaka termasuk 10 buah sekolah kebangsaan (SK) ditutup selepas seramai 1,258 pelajar telah dijangkiti Covid-19.

Exco Pendidikan dan Teknologi, Datuk Rais Yasin berkata, langkah penutupan sekolah berpandukan saranan yang diberikan oleh pihak berkuasa Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka.

Menurutnya, setakat ini penutupan sekolah dalam tempoh lima hingga tujuh hari, bergantung kepada keadaan dan tahap penularan Covid-19 di sekolah masing-masing.

Katanya, antara sekolah yang terlibat ialah SK Kampung Tun Razak, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ning, SK Paya Redan, SK Batu Berendam, SK Pulai, SK Chinchin, SMK Tun Tuah, SK Tun Syed Ahmad Shahabudin, SK Duyung, SK Bukit Rambai dan SK Taman Bukit Rambai.

"Sesi kelas di sekolah-sekolah tersebut tetap diteruskan melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Ini adalah amat penting bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid-murid dapat dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut beliau berkata Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi akan terus memantau dan memastikan keberkesanan pembelajaran pelajar agar mengelakkan keciciran berlaku dalam kalangan pelajar.

Menurut beliau, setakat ini data menunjukkan bilangan murid berumur lima hingga 11 tahun yang telah divaksin seramai 18,167 orang.

Ujar beliau, walaupun merekodkan jumlah peningkatan namun peratusan tersebut dilihat masih rendah kerana baru mencapai 18.5 peratus daripada 98,200 bagi jumlah keseluruhan pelajar.

"Antara langkah-langkah pencegahan utama atau prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri ialah melaksanakan langkah-langkah di bawah SOP 3.0 daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Keduanya ialah dengan memastikan saringan suhu dilakukan sebelum masuk dan semasa di sekolah, malah ujian saringan RTK juga akan dilakukan secara bersasar terhadap pelajar pada setiap hari," katanya.

Jelas beliau JPN juga telah mengarah sekolah untuk sentiasa memantau penjarakan fizikal pelajar-pelajar semasa aktiviti persekolahan.

"Kaedah penggiliran kehadiran pelajar juga dilakukan bagi mengelakkan kesesakan di sekolah," katanya.
Previous Post Next Post