Ibu bapa khuatir guru berpolitik akan ‘racun’ anak dengan fahaman parti

Imej hiasan

PETALING JAYA: Segelintir ibu bapa khuatir langkah membenarkan guru berpolitik akan meracuni pemikiran anak mereka dengan fahaman parti politik, lagi-lagi jika cikgu berkenaan mahu merekrut ahli baharu.

Berkongsi kegusaran itu dengan FMT, Nasuha Badrul Huzaini, tertanya bagaimana seorang guru mahu memberikan komitmen yang tinggi kepada murid jika pemikirannya sibuk dengan hal politik.

“Tidak mustahil pengajaran di dalam kelas akan dijadikan sebagai ruang untuk berbicara hal politik. Jangan doktrinkan anak-anak dengan (fahaman) parti politik. Fokuslah pada kerja hakiki,” katanya.

Nas Norziela Nasbah juga tertanya bagaimana seorang guru berpolitik akan mengimbangi kerjaya yang sibuk dengan aktiviti kepartian.

“Apabila guru berkenaan didapati tidak hadir ke sekolah kerana terdapat urusan kecemasan…bila dapat tahu bukan kecemasan tetapi urusan parti. Bila jadi macam itu adakah wajar kita benarkan guru sekolah berpolitik?” soalnya.

Beliau menggesa Kementerian Pendidikan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru bertemu dengan semua pihak berkepentingan dan menjelaskan syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi guru yang ingin bersilat di arena politik.

“Jangan bawa masuk masalah politik dalam bilik darjah,” tegasnya.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu mengumumkan kerajaan membenarkan guru untuk berpolitik, berkuatkuasa serta-merta. Kebenaran itu katanya bagi menghormati prinsip demokrasi.

Seorang guru yang enggan namanya didedahkan mempersoalkan apakah jaminan seorang cikgu itu boleh fokus mengajar ketika khidmatnya turut diperlukan parti.

“Kerja di sekolah sudah menimbun, ada hati nak berpolitik. Bayangkan nak pilihan raya nanti tak pasal-pasal bilik guru jadi markas untuk berkempen,” katanya.
Previous Post Next Post