NUTP cadang pengetua sekolah harian diberi kuasa laksana PdPR


KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyokong tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) tidak membenarkan pelajar bukan kelas peperiksaan yang pulang bercuti sempena Tahun Baharu Cina kembali ke asrama.

Menurut setiausaha agungnya, Wang Heng Suan, tindakan itu mampu melindungi calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang bakal menduduki peperiksaan tidak lama lagi daripada jangkitan COVID-19.

“Kita mahu tumpu perhatian kepada pelajar Tingkatan Lima untuk mengambil peperiksaan SPM," katanya kepada Astro AWANI, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata NUTP turut mencadangkan KPM memberi kuasa kepada pengetua di sekolah-sekolah harian membuat keputusan untuk melaksanakan PdPR bagi pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat apabila keadaan memerlukan.

"Melihat keadaan sekarang ini saya rasa pengetua akan lebih faham di sekolah mereka samada kes (COVID-19) itu semakin bahaya atau tidak. Berdasarkan data yang diterima kita harap pengetua diberi kuasa untuk membolehkan perlaksanaan PdPR,” jelasnya .

NUTP berharap KPM mempertimbangkan cadangan tersebut memandangkan terdapat rungutan daripada ibu bapa tentang kebimbangan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelajar.

Pihaknya juga turut berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KPM di sekolah dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Bagaimanapun, isu pematuhan SOP di luar sekolah jelasnya adalah sesuatu di luar kawalan mana-mana pihak.

“Kita sememangnya seboleh-bolehnya mahu pelaksanaan pembelajaran bersemuka itu dilaksanakan, namun memandangkan keadaan sekarang adalah genting kita harus fokus kepada pelajar yang akan mengambil SPM.

“SOP yang telah dibuat oleh KPM adalah amat baik dan sudah lengkap. Pihak sekolah pun mematuhi tetapi cuma apa yang sedang berlaku sekarang adalah kita tak dapat kawal apa yang berlaku di luar sekolah. Murid-murid kita lihat apabila ke luar sekolah kita lihat mereka tidak jaga SOP," katanya lagi.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin, berkata pelajar daripada bukan kelas peperiksaan yang pulang bercuti sempena Tahun Baharu Cina tidak dibenarkan kembali ke asrama, sebaliknya mereka perlu mengikuti PdPR.

Katanya, KPM membuat ketetapan itu sebagai usaha mengawal jangkitan COVID-19 serta melindungi calon SPM.

 

Previous Post Next Post