Jangan lupa mohon UPU, tarikh tutup 31 Mac ini


BUAT yang mahu menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT), pastikan anda tidak terlepas membuat permohonan UPUOnline bagi pengambilan sesi akademik 2022/2023.

Permohonan tersebut akan ditutup pada 31 Mac ini pada pukul 5 petang.

Menurut Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (BPKP) Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), kegagalan mengemukakan permohonan pada tarikh tersebut akan menyebabkan calon tidak akan dipertimbangkan untuk melanjutkan pengajian pada sesi akademik itu.

“Hanya calon yang mengemukakan permohonan pada fasa permohonan sahaja boleh mengemas kini pada fasa pengemaskinian.

“Tiada permohonan baharu akan dibuka pada fasa pengemaskinian,” katanya seperti dicatat dalam laman Facebook rasminya hari ini.

Permohonan tersebut dibuka untuk calon melanjutkan pengajian bagi sesi akademik 2022/2023 ke universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan institusi latihan kemahiran awam.

Permohonan boleh dibuat di laman web rasmi UPUOnline. – RELEVAN

 

Previous Post Next Post